Monday, December 14, 2009

UMNO Kedah dalam dilemma mencari Ketua untuk PRU13.

ADA 15 kawasan Parlimen di Kedah. Ada 15 ketua bahagian Umno di Kedah. Ada 15 ragam dan mereka ini, berpuak-puak – yang nyata, ada orang Perdana Menteri, ada orang bekas Perdana Menteri dan ada orang – makan keliling!Tentunya rencana ini mengejutkan.

Tetapi dalam Umno Kedah, ramai pemain wayang kulit. Masing-masing mahu menjadi tok dalang. Keikhlasan, mereka letak di bawah tapak kasut.

Di Pejabat Umno negeri, masing-masing membina kubu mempertahankan kepentingan. Masing-masing mengampu boss, untuk mencari makan dengan Umno. Malangnya, apabila melihat pokok sudah hamper tumbang, masing-masing melompat ke pohon yang dilihat lebih kukuh dan rending.

Inilah budaya mereka dalam Umno Kedah! Bercakap banyak, memberi alasan memang kegemaran mereka, bekerja malas dan akhirnya bila kalah pilihan raya masing-masing salah menyalah antara satu sama lain.

Ketika Tan Sri Osman Aroff menjadi Menteri Besar, mereka bernaung di bawah ketiak Osman. Bila mereka dengar Osman hampir jatuh, mereka berbondong-bondong meninggalkan Osman dengan mencari tempat naungan baru.

"Pelik apa dengan Osman jika akhirnya Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu bertanding sebagai perwakilan G7 ke Kuala Lumpur dicantas?,” kata seorang pemerhati politik dari UUM.

Dr. Mahathir meninggalkan kepimpinan Umno bahagian Kubang Pasu selepas 22 tahun mengetuainya. Sebelum Dr. Mahathir, bahagian ini diketuai Osman. Osman pun orang Kubang Pasu ketepikan, sama seperti mereka menyingkirkan Dr. Mahathir.

Yang menyingkirkan Dr. Mahathir bukan musuh dari luar tetapi adalah bekas Setiausaha Politiknya, yang diamanahkan menjadi ketua bahagian selepasnya. Begitu sekali politik Umno Kedah, hanya kerana Dr. Mahathir sudah hilang kuasa dan ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Presiden Umno.

Suatu ketika, apabila ada berita mengatakan Tan Sri Sanusi Junid mahu dilantik menjadi MB Kedah, orang Umno Langkawi menumpaskan Sanusi sebagai ketua bahagian itu. Mereka tidak mahu mendengar nasihat Dr. Mahathir padahal ketika itu, Dr. Mahathir adalah Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Bagi mempertahankan egonya, Dr. Mahathir tetap melantik Sanusi menjadi Menteri Besar walaupun Sanusi bukan di kalangan ketua-ketua bahagian di Kedah. Malahan, Sanusi turut dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah.

Maka jadilah Sanusi ketua kepada ketua-ketua bahagian walaupun Sanusi bukan dari kalangan ketua bahagian.

Siapa yang Sanusi lantik menjadi Setiausaha Badan Perhubungan? Sanusi lantik Setiausaha Politiknya, Dato' Rozai Shafian. Padahal, kebiasaannya, penjawat jawatan setiausaha perhubungan adalah dari kalangan ketua bahagian. Namun, Sanusi merubahnya!

Ini semua cerita lama. Cerita di mana, ketika Dr. Mahathir masih lagi berkuasa, pun ada bahagian di Kedah yang tidak memperdulikan kehendaknya. Apatah lagi apabila dia sudah kehilangan kuasa, Umno bahagian yang pernah diketuainya selama 22 tahun juga turut memalukannya.

Tiba-tiba, ada cadangan yang mahukan Dr. Mahathir menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah. Tiba-tiba juga ada cadangan, walaupun tidak dibuat secara terbuka, mahukan anak Dr. Mahathir, Dato' Mukhriz diberikan peluang bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun).

Bukankah ini cadangan yang melucukan? Dr. Mahathir khabarnya tidak bersedia menerima perlantikan itu jika mahu dilakukan tetapi khabarnya Muhkriz memang mengharapkan namanya dicalonkan di mana-mana kerusi Dun setelah di Parlimen, kedudukannya seperti tidak diperdulikan.

Perlu disebut, Mukhriz adalah Ahli Parlimen BN yang pernah menulis surat mencadangkan supaya Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan apabila keputusan PRU 12, Mac 2008 tidak memberi kelebihan kepada BN untuk mengekalkan majoriti 2/3 di Parlimen dan lima negeri terlepas ke tangan pembangkang.

Dalam era Abdullah, Mukhriz tidak dilantik memegang apa-apa jawatan, walaupun Abdullah yang mempersetujui Mukhriz disenaraikan sebagai calon BN di Parlimen Jerlun, ketika Dr. Mahathir sedang kuat menyerang kepimpinan Abdullah.

Di manakah bermulanya cadangan yang melucukan ini timbul? Ia timbul ketika ketua-ketua bahagian di Kedah buntu untuk mencari seorang ketua di kalangan mereka untuk mengemudikan Umno dan BN di Kedah untuk menghadapi PRU 13.

Antara ketua bahagian yang senior, Dato' Ahmad Lebai Sudin yang mengetuai Umno Bahagian Pokok Sena baru sahaja dilepaskan dari tindakan disiplin kerana dakwaan mensabotaj calon BN di Parlimen Pokok Sena, DUN Bukit Pinang dan Dun Bukit Lada.

Ketua Umno Bahagian Jerlun, Datuk Abu Hassan Sarif adalah muka baru di kalangan ketua bahagian walaupun dia sudah menjadi Adun Kota Siputeh sejak empat penggal lalu – kini terpaksa menanti saat-saat kehilangan kerusi yang diwakilinya kerana ponteng persidangan Dun.

Ketua Umno Bahagian Sik, orang baru. Kulim-Bandar Baharu, orang baru, Kuala Kedah, orang baru, Baling, muka baru, Sungai Petani, muka baru. Yang agak senior, ketua bahagian Alor Setar.

Namun, ketua bahagian Alor Setar ini tidak diyakini mampu mengepalai angkatan perang menghadapi PRU 13 walaupun kini sudah diberi kepercayaan menjadi timbalan pengerusi badan perhubungan.

Itulah sebabnya, di dalam Umno negeri, ketua bahagian Alor Setar ini diberi jawatan tinggi tetapi di Dun Kedah, jawatan Ketua Pembangkang disandang Ketua Umno Bahagian Padang Terap.

Jika Dr. Mahathir betul-betul dilantik memegang jawatan pengerusi perhubungan di Kedah, masihkah ada rasa hormat di kalangan ketua-ketua bahagian yang menganggotai jawatankuasa badan perhubungan ini?

Mungkinkah Dr. Mahathir akan dipermainkan sekali lagi sebagai mana yang pernah mereka lakukan ketika mereka menyingkirkan Dr. Mahathir dari menjadi perwakilan G7 dan menendang keluar Sanusi dari Langkawi hanya kerana mereka mahu menghantar mesej kepada Dr. Mahathir yang masih menjadi Perdana Menteri, dengarlah sama suara orang di bawah dan bukan hanya mahu arahannya sahaja perlu dipatuhi oleh orang bawah.

Ditulis oleh IDRIS SAMAD

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails