Tuesday, December 15, 2009

UMNO! Bukan kerana Anwar korang lemah..

Slogan 1Malaysia sudah diserapkan kepada seluruh kakitangan kerajaan. Lambang 1Malaysia sudah dibuat logo yang terlekat di dada kiri setiap kakitangan kerajaan.

Sewaktu diumumkan oleh Najib Razak, bahawa 1Malaysia bertujuan "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan", kita pun berfikir, memberi andaian dan menjangkakan bahawa kempen ini satu lagi projek besar-besaran BN yang membawa keuntungan kepada seluruh rakyat Malaysia. Rupa-rupanya jauh meleset.



Hingga ke hari ini, para pemimpin Umno buat ribut-ribut tentang 1Malaysia. Ke sana sini ia menjadi bahan ucapan mereka.

Hasilnya masih kabur. Ia tidak lain tidak bukan sebuah lagi cogan kata yang baru berjenama Umno untuk menyatupadukan kefahaman rakyat kepada ikatan perpaduan dalam Umno itu sendiri.

Ia sama seperti Umno bersama parti Perikatan (sebelum BN) dulu dan Umno bersama BN sekarakang - tujuannya sama, untuk menyatupadukan rakyat Malaysia dalam kerangka BN.

1Malaysia itu cuma satu pembaharuan semangat dengan cogan kata baru demi BN dan Umno yang hampir kehilangan kuasa dan kepercayaan pengundi muda pada pilihan raya umum 2008. Selain itu apa?

Untuk rakyat, kenaikan petrol masih membebankan, yuran sekolah anak-anak, kos hidup mereka, cukai barangan, cukai pintu rumah dinaikan. Semua ini membebankan para pengundi miskin yang telah memberi mandat kepada kerajaan Umno dan BN memerintah.

Tetapi pengundi-pengundi ini terus dibebankan.

Untuk berkuasa, para pemimpin Umno sanggup berbuat apa sahaja termasuk terus membujuk PAS menyertai kerajaan perpaduan. Kalau Anwar Ibrahim menjadi faktor kekuatan Pakatan Rakyat, beliau juga harus dihancurkan.

Tidak hairan dengan kes liwat Anwar yang baru kerana pengaruhnya dalam Pakatan Rakyat dianggap oleh para pemimpin Umno sebagai luar biasa. Ia boleh menggugat Umno dan BN daripada terus berkuasa selepas pilihan raya umum ke-13 nanti.

Dalam fikiran pengundi hari ini, mereka sudah terfikir, kalau institusi penting seperti polis atau badan pencegahan rasuah boleh diatur oleh pemimpin kerajaan, kenapa pula Anwar tidak boleh dimasukkan ke penjara (sekali lagi)?

Pengundi nampak kes terbaru Anwar akan mengulangi trend yang dibuat Dr Mahathir Mohamad dulu.

Sebenarnya, Anwar bukanlah faktor utama untuk Umno dan BN itu lemah. Sama ada Anwar di dalam atau di luar penjara, bukanlah soal pokok.

Yang penting, pengundi sendiri sudah bosan dengan tekanan hidup dan kerana itu mereka sendiri yang mahu berubah apabila Umno tidak tahu untuk berubah.

Halik Zaman

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails