Wednesday, December 9, 2009

Tanah Masjid pun depa gadai?

Adalah amat malang bagi umat Islam apabila tanah yang telah diperuntukkan untuk pembinaan masjid dijual. Walaupun ada alasan menyatakan sudah ada masjid yang berdekatan iaitu Masjid Wilayah Persekutuan, namun itu tidak menghalalkan tindakan menjual tanah simpanan masjid untuk tujuan komersial .

Bagaimana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur boleh meluluskan pembangunan berbentuk komersial dan kompleks belibelah di tapak yang digazet sebagai "tanah simpanan masjid".

Mengikut Kuala Lumpur Structure Plan 2020, tapak di kawasan yang hari ini dikenali sebagai kawasan Sri Hartamas bersebelahan dengan jalan besar telah digazetkan sebagai "tanah simpanan untuk pembinaan Masjid Desa Sri Hartamas".

Tau-tau kawasan itu sekarang sedang dibangunkan pusat komersial oleh syarikat Glomacs.

Saya terkejut apabila YB Menteri memberi jawapan bahawa memang benar kawasan itu dikenalpasti sebagai "Tanah Simpanan pembinaan Masjid Desa Sri Hartamas" didalam KL Structure Plan 2020. Namun setelah penyerahan oleh pemaju kepada kerajaan, tanah tersebut telah diserahkan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Oleh itu boleh dirumuskan daripada jawapan itu bahawa MAIWP telah menjual tanah tersebut kepada syarikat Glomac untuk dibuat pembangunan komersial.

Saya berasa sangat kesal dengan berlakunya perkara ini. Pada saya ini adalah pengkhianatan kepada umat Islam dan agama Islam. Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara menghendaki bahawa apa-apa projek pembangunan mesti ada kawasan yang diperuntukkan untuk pembinaan Masjid atau surau. Ini bersesuaian dengan Islam sebagai agama Persekutuan. Ini adalah untuk menjamin hak dan keistimewaan Islam sebagaimana yang diperuntukkan oleh perlembagaan.

Adalah amat malang bagi umat Islam apabila tanah yang telah diperuntukkan untuk pembinaan masjid dijual. Walaupun ada alasan menyatakan sudah ada masjid yang berdekatan iaitu Masjid Wilayah Persekutuan, namun itu tidak menghalalkan tindakan menjual tanah simpanan masjid untuk tujuan komersial. Apa salahnya dibina sekolah atau hospital atau apa-apa pembangunan yang boleh membantu syiar dan da'wah Islam. Apatah lagi lokasi-lokasi strategik saperti di Sri Hartamas.

Saya percaya kalau penganut agama lain mereka tidak akan melepaskan peluang untuk membina rumah 'ibadah masing-masing walaupun berdekatan antara satu sama lain, apatah lagi dikawasan dan lokasi yang strategik. Ini adalah soal syi'ar agama!

Saya khuatir apabila saya mendapat satu lagi maklumat tentang penjualan tanah simpanan masjid di persimpangan Jalan Danau Kota/ Genting Kelang berhadapan dengan JPJ Wilayah Persekutuan berdekatan dengan kem Wardieburn.


Maklumat yang saya terima tanah simpanan masjid ini telah dijual kepada sebuah syarikat bernama Mah Sing Bhd. Malahan saya telah menerima beberapa maklumat lain tentang penjualan beberapa tanah simpanan masjid, termasuk ada penjualan tanah waqaf kepada syarikat asing yang bukan tujuan syarie'.

Cuba bayangkan kawasan-kawasan yang dibuat simpanan tanah masjid ini adalah dikawasan bandar, lokasi yang strategik dan tumpuan ramai.


Cuba bayangkan contohnya dikawasan Sri Hartamas itu dibina masjid untuk kaum tionghua contohnya, dengan imam cina, program dalam bahasa cina. Apatah lagi kalau khutbah dalam bahasa mandarin. Cuba bayangkan kesannya kepada masyarakat sekeliling Hartamas.

Bukankah ini akan meningkatkan syi'ar dan dakwah Islam. Sudah berapa lama persatuan Muslim Cina saperti MACMA (Malaysian Chinese Muslim Association) meminta tanah untuk dibangunkan Masjid Tionghua. Apa salahnya tanah simpanan masjid saperti di Sri Hartamas itu diserahkan kepada persatuan saperti MACMA untuk dibangunkan Masjid Tionghua?!

Cuba bayangkan sahabat dan saudara kita di Filistin yang terpaksa menggadai nyawa dan membayar dengan darah mereka untuk mempertahankan masjid mereka iaitu Masjid Al Aqsa (gambar diatas).


Lihat apa jadi dengan masjid-masjid di Switzerland yang akan menerima nasib malang apabila pungutan suara dibuat meluluskan usul untuk merobohkan minaret-minaret di masjid-masjid di Switzerland.

Dan kita bangsa Melayu beragama Islam di Malaysia dah diberi tanah yang mahal dan strategik, percuma pulak tu..dan kita senang-senang menjual dan menggadai tanah-tanah masjid ini!! Kalau kita tidak malu dengan ALLAH pun, malulah dengan saudara-saudara kita di Filistin, Bosnia, Switzerland, India dan banyak lagi tempat yang telah berkorban dengan begitu hebat untuk mempertahankan masjid-masjid mereka!


Zulkifli Noordin

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails