Monday, December 14, 2009

PKFZ : Kes PKFZ dan PERWAJA sama tapi tak serupa?

Siapakah lagi selepas empat yang terbabit, terbaru bekas pengurus projek Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), Law Jenn Dong didakwa di mahkamah hari ini berhubung penyelewengan dalam projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang kosnya melambung dari RM2 bilion menjadi RM12.5 bilion.

Atau mugkinkah penahanan dan dakwaan terhadap kes berkenaan terhenti setakat itu, menghulangi episod kes Perwaja, sama tapi tak serupa?

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bimbang ia cuma satu taktik bagi memadamkan skandal berkenaan sebagaimana kes Perwaja sebelum ini.

“Seperti kes Perwaja, ada permulaan kecil tapi jerung-jerung besar tak tertangkap. Langkah awal itu jangan pula untuk memadamkan cerita PKFZ.

“Cerita PKFZ tidak boleh padam selagi ia tak diselesaikan dengan baik,” tegas beliau.
Ketua Umum Keadilan itu berkata, kerajaan perlu lebih bersungguh-sungguh dalam siasatan kes berkenaan bagi merungkai skandal terbesar negara itu.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula menganggap perkembangan itu cuma berkaitan usaha kecil dalam permasalahan besar (small piece of a larger picture) skandal berkenaan.

Beliau yang turut mengalu-alukan usaha yang membawa penahanan itu, tapi berharap campurtangan politik perlu diketepikan jika bersungguh mahu ‘mencuci’ skandal itu.

“Jika tidak, tindakan kerajaan hanya menyentuh permukaan masalah sahaja. Tidak lebih dari itu,” katanya.

Law, 51, hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen dengan 24 tuduhan menipu melibatkan sejumlah RM116.85 juta dalam skandal PKFZ.

Beliau yang merupakan bekas pengurus projek Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) adalah orang keempat didakwa berhubung dengan penyelewengan dalam projek PKFZ.

Menurut Anwar dan Kit Siang sehingga kini hanya pegawai kanan sahaja yang didakwa manakala pemimpin yang terlibat dalam skandal PKFZ masih bebas.

Mereka yang masih bebas adalah pemimpin kanan Kuala Dimensi Sdn Bhd yang menjadi penjual tanah kepada PKFZ dan kemudiannya menjadi pemaju kepada projek yang menelan wang rakyat sekurang-kurangnya RM4.6 bilion ini.

Pengerusi Kuala Dimensi adalah Bendahari Umno, Datuk Seri Azim Zabidi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) adalah Pengerusi Kelab Penyokong kerajaan BN, Datuk Seri Tiong King Sing dan timbalannya adalah Ketua Pemuda Umno Kapar, Datuk Faizal Abdullah.

Bekas pengurus besar LPK, O C Phang bersama dua yang lain, Bernard Tan dan Stephen Abok merupakan tiga individu pertama yang didakwa Khamis lalu atas kesalahan pecah amanah berhubung skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang didedahkan sejak dua tahun lalu.

Hakim Yong Zarida Sazali membenarkan Phang dibebaskan dengan ikat jamin RM350,000 dengan seorang penjamin dan menyerahkan pasportnya pada 12 Januari depan ketika kes disebut sekali lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kuala Dimensi Sdn Bhd, Stephen Abok dan seorang arkitek, Bernard Tan Seng Swe juga mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama atas dua tuduhan membuat tuntutan palsu bernilai RM5.41juta.

Bernard turut didakwa atas 24 lagi pertuduhan membuat tuntutan palsu bernilai RM112.3juta kepada lembaga tersebut.

Mahkamah membenarkan Stephen dibebaskan dengan ikat jamin RM200,000 manakala Bernard diarah membayar ikat jamin RM250,000 dan kes disebut pada 4 Februari tahun depan.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails