Friday, December 11, 2009

PKFZ: Bila pula giliran pemimpin kanan Kuala Dimensi?

KLANG, 11 Dis: Selepas tiga pegawai kanan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) didakwa di Mahkamah Sesyen semalam, ramai pihak tertanya-tanya apakah sampai di situ sahaja atau ada lagi pendakwaan kepada pihak lain akan dibuat.

Ini kerana, sehingga kini hanya pegawai kanan sahaja yang didakwa manakala pemimpin yang terlibat dalam skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) masih bebas.


(Carta bagaimana skandal PKFZ berlaku...dari akhbar Siasah)

Mereka yang masih bebas adalah pemimpin kanan Kuala Dimensi Sdn Bhd yang menjadi penjual tanah kepada PKFZ dan kemudiannya menjadi pemaju kepada projek yang menelan wang rakyat sekurang-kurangnya RM4.6 bilion ini.

Pengerusi Kuala Dimensi adalah Bendahari Umno, Datuk Seri Azim Zabidi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) adalah Pengerusi Kelab Penyokong kerajaan BN, Datuk Seri Tiong King Sing dan timbalannya adalah Ketua Pemuda Umno Kapar, Datuk Faizal Abdullah.

Bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Datin Paduka O. C. Phang petang semalam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang atas tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan RM254.85juta antara Oktober 2004 dan Januari 2005.

Beliau bersama dua yang lain, Bernard Tan dan Stephen Abok merupakan tiga individu pertama yang didakwa atas kesalahan pecah amanah berhubung skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang didedahkan sejak dua tahun lalu.

Hakim Yong Zarida Sazali membenarkan Phang dibebaskan dengan ikat jamin RM350,000 dengan seorang penjamin dan menyerahkan pasportnya pada 12 Januari depan ketika kes disebut sekali lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kuala Dimensi Sdn Bhd, Stephen Abok dan seorang arkitek, Bernard Tan Seng Swe juga mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama atas dua tuduhan membuat tuntutan palsu bernilai RM5.41juta.

Bernard turut didakwa atas 24 lagi pertuduhan membuat tuntutan palsu bernilai RM112.3juta kepada lembaga tersebut.

Mahkamah membenarkan Stephen dibebaskan dengan ikat jamin RM200,000 manakala Bernard diarah membayar ikat jamin RM250,000 dan kes disebut pada 4 Februari tahun depan.

Ketiga-tiga mereka pagi semalam ditahan dalam satu operasi bersama Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rausah Malaysia (SPRM).

Tangkapan ini merupakan tangkapan pertama dalam skandal PKFZ yang menelan belanja sehingga RM12.5 bilion.

Timbalan Pendakwaraya Manoj Kurup berkata, dakwaan dibuat berdasarkan laporan polis yang dibuat Pengerusi LPK, Lee Hwa Beng dan siasatan SPRM.


HarakahDaily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails