Sunday, December 6, 2009

Lagi projek untuk kroni UMNO!

Kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) masih dengan sikap tidak memperdulikan kepentingan rakyat tetapi sebaliknya terus bersekongkol dengan kroni bagi mengaut keuntungan menerusi projek pemberian rundingan terus.

“Baru-baru ini, Umno-BN mengeluarkan surat hasrat (letter of intent) kepada tiga pihak untuk memajukan tanah seluas 150 ekar di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara,Tony Pua (gambar).

Menurut beliau, tiga pihak tersebut yang akan memajukan tanah tidak ternilai itu ialah Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan syarikat pemaju Brunfeld yang dikaitkan dengan kerajaan negeri Selangor ketika di bawah pentadbiran BN.

Tony berkata, apa yang dilakukan oleh kerajaan BN ini jelas tidak memperdulikan kepentingan rakyat dan bercanggah dengan konsep “Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan” yang dilaungkan oleh pentadbiran Perdana Menteri Najib Abdul Razak.

“Tanah yang sangat berharga itu, yang nilainya tidak kurang dari RM2,000 satu kaki persegi, akan diberi secara percuma sama seperti tanah seluas 65 ekar di Jalan Duta yang diserah kepada Kumpulan Naza,” jelas beliau.

Tanah di Jalan Cochrane itu akan dimajukan dengan bangunan dan diserahkan kepada kerajaan dan sebagai ganti atau “habuan”, ketiga-tiga pihak itu akan dibenarkan membina pembangunan hartanah bercampur dengan nilai pembangunan kasar (GDV – Gross
Development Value) RM15 bilion.

Beliau menerangkan, sikap kerajaan BN yang membenarkan tanah itu dibangunkan amat dikesali kerana tidak menerusi tender terbuka.

“Kita akan mendesak pihak Umno-BN mengemukakan butiran lanjut mengenai projek mega ini apabila Parlimen bersidang pada masa akan datang,” ujar beliau.

Kumpulan Naza, melalui anak syarikatnya Naza-TTDI Sdn Bhd, akan membina pusat expo dan konvensyen untuk kegunaan MATRADE di Jalan Duta, Kuala Lumpur bernilai RM628 juta.

Sebagai “habuan”, kerajaan menganugerah tanah seluas 65 ekar di sekitar kompleks itu untuk pembinaan hartanah bercampur yang terdiri dari rumah kedai, kompleks perniagaan, kondominium dan hotel dengan GDV bernilai juga, RM15 bilion.

Menurut Tony, sebidang lagi tanah yang sedang diintai oleh BN dan kroni-kroninya ialah di Institut Penyelidikan Getah (RRI) di Sungai Buloh, Selangor.

“Kita bimbang tanah di RRI ini juga akan jatuh ke tangan mereka dengan menganugerah menerusi rundingan terus dan tidak melalui tender terbuka dan tidak telus,” jelas beliau.


freemalaysiatoday

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails