Sunday, December 27, 2009

Kisah Benar : Panggilan misteri dari Polis.

LEBIH sebulan sudah berlalu sejak kejadian percubaan rasuah di Balai Polis Tun HS Lee yang saya ceritakan dahulu. Kini, saya cuba memberanikan diri untuk melaporkan kejadian tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tapi hajat masih belum tercapai sebab sibuk.

Tetapi semasa menunggu sampai sempat ke SPRM, saya menerima satu panggilan misteri pada 2 Dis 2009. Beginilah ceritanya.


Sekadar hiasan

Saya berada di pejabat, sibuk menyiapkan kerja sebelum menyambung sesi latihan wayang di waktu malam. Lebih kurang jam 3 petang, saya menerima satu panggilan: "Hello, ni En Fahmi ke? Sebentar, saya sambungkan panggilan."

Apa hal ni, agaknya, fikir saya dalam hati.

Pemanggil: Hello, assalamualaikum. Nama saya Chief Inspector Razlam. Ini En Fahmi ke?

Saya: Ya, ini Fahmi. Ini berkenaan dengan apa?

Pemanggil: Hari tu En Fahmi ada buat laporan tentang anggota polis rasuah tu kan? Boleh tak saya jumpa En Fahmi... esok boleh?

Saya: Umm... boleh... tapi, nak jumpa pasal apa?

Pemanggil: Ada perkara yang saya nak tanya pasal kejadian tu.

Saya: Oh, ok. Bila?

Pemanggil: Ok, kalau macam tu, boleh datang ofis saya esok? Oh, kalau boleh, bawakkan resit yg En Fahmi buat bayaran saman hari tu, ya?

Hati berdebar-debar. Pasal apa ni... Terus saya kata ok, lalu Chief Inspector (CI) Razlam memberi saya alamat pejabatnya di Pusat Bandar Damansara.

Kenapa di Pusat Bandar Damansara? Hati saya mulai risau.

Dengan pantas saya menelefon Puspawati Rosman yang telah pergi bersama saya ke Bukit Aman tempoh hari dan saya menceritakan panggilan misteri tadi kepadanya. "Ganjil... Kenapa dia nak buat satu lagi meeting... ok, saya boleh ikut," kata Puspa. Lega sedikit rasa dalam hati. "Tapi kenapa dekat Pusat Bandar Damansara, ya?"

Di Pusat Bandar Damansara

Setahu saya, Pusat Bandar Damansara itu tempat imigresen dan ada juga Kolej HELP. Pasaraya Giant pun ada. Tapi pejabat polis untuk soal selidik kes rasuah? Aneh.

Hal ini membuatkan hati saya bertambah resah. Setelah menelefon beberapa teman, saya dinasihat untuk membawa bersama ibu saya berjumpa chief inspector berkenaan.

Untuk pengetahuan para pembaca budiman, ibu saya, Fauziah Ramly, adalah seorang pegawai kanan kerajaan dengan pengalaman bekerja lebih 30 tahun. Ibu saya seorang yang kuat semangat, yang berani mencabar sesiapa pun — mereka yang sudah bekerja dalam perkhidmatan awam pasti mengenali suaranya dari jauh! Dan ibu saya banyak kabel. Fakta terakhirnya menunjukkan yang kehadirannya boleh menjadi aset, dan juga satu liabiliti, dalam mana-mana situasi.

Contoh: 2004. Saya dan beberapa teman ditahan pihak polis di hadapan Bukit Aman atas "kesalahan" berhimpun secara haram. Masa itu, saya sedang merakamkan perhimpunan orang ramai yang hendak menyerahkan memorandum mengenai keganasan polis dan kematian dalam tahanan. Kami diletakkan di Balai Polis Hang Tuah, yang pada waktu itu berada dalam kawasan Penjara Pudu (al-fatiha).

Tiada peguam yang dibenarkan masuk selama lebih kurang setengah hari kami ditahan. Tiba-tiba, ibu saya muncul bersama Anne James, isteri Ahli Parlimen R Sivarasa, yang membawa ubat untuk suaminya. Teman-teman bertanya, siapa perempuan ini? Ibu saya terus menuju saya dan dalam keadaan gembira sambil marah, memintal telinga saya dikhalayak ramai. "FAHMI! KENAPA BUAT MACAM NI?!" jerit ibu saya. Lesap respek teman-teman...

Jadi, apabila ibu saya berkata beliau boleh dan mahu ikut bersama, saya memanjatkan doa kesyukuran dan doa keselamatan buat diri saya dan Puspa.

3 Dis 2009. Kami tiba di Pusat Bandar Damansara, Blok I, aras 2. Lampu kalimantang layu menjemput kami masuk; papan tanda Bahagian Tatatertib Urusetia KPN hanya kelihatan setelah keluar lif. Apabila ditanya mengapa tiada papan tanda di aras bawah, pegawai bertugas yang tidak beruniform menjelaskan, "Ini tempat rahsia" sambil tersenyum. Saya tak pasti samada ini benar atau tidak.

Seketika kemudian, CI Razlam menjelma. "Maaf, tempat ni susah sikit nak parking." Ya, Pusat Bandar Damansara memang terkenal dengan masalah meletak keretanya.

Sambung baca di sini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails