Tuesday, December 15, 2009

Isteri Menteri Kesihatan beri Keterangan Hadiah Alphard untuk harijadi.

PUTRAJAYA – Isteri Menteri Kesihatan, Datin Seri Lee Su Loo hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini, untuk memberi keterangan berhubung dakwaan menerima hadiah hari jadi sebuah kereta mewah, Alphard berharga RM600,000.

Lee memberi keterangaan selama empat jam sebelum dilihat meninggalkan SPRM kira-kira jam 2 petang.



Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd. Shukri Abdull ketika dihubungi mengesahkan perkara itu, bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Namun sumber memberitahu, Lee disoal-siasat mengenai kereta Alphard yang menggunakan pendaftaran WSB 15.

Isu pemberian hadiah hari jadi ini timbul selepas persengketaan di antara Liow Tiong Lai yang juga naib presiden MCA dengan presiden MCA, Ong Tee Keat, beberapa hari selepas mesyuarat khas pada Oktober lalu.

Laporan mengenai artikel itu disiarkan dalam sebuah laman web pada 14 Oktober lalu menyebut Liow menghadiahkan sebuah kereta Toyota Alphard berharga hampir RM600,000 kepada isterinya sebagai hadiah hari jadi pada Januari lalu.

Artikel itu menggambarkan pembelian kereta mewah itu dibiayai oleh sebuah syarikat pembinaan Axis Construction Sdn Bhd (ACSB) yang selalu memenangi senarai tender kementerian tersebut dan didakwa membayar wang pendahuluan kereta itu lebih RM300,000 beserta bayaran ansuran RM5,000 setiap bulan kepada Bank Hong Leong.

Ahli Parlimen Segambut dari DAP, Lim Lip Eng membuat laporan polis terhadap dakwaan tersebut pada 18 Okt yang kemudiannya menyerahkannya kepada SPRM

Liow dan isteri menafikan sebarang salah laku terhadap pemberian hadiah itu.

Liow memberitahu dia menjual kereta Toyota Harrier untuk membeli kereta terpakai Toyota Alphard berkenaan.

Beliau mengugut untuk menyaman sesiapa yang cuba memfitnahnya dengan isu berkenaan dan menyifatkannya sebagai “serious character assassination.”

Bagaimanapun, beliau berjanji akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan SPRM demi membersihkan namanya.

Liow juga memberitahu, isterinya membeli kereta berkenaan menerusi seorang kawan.
Beliau mendakwa harga kereta itu hanya RM380,000 bukan hampir RM600,000 seperti yang tersiar dalam Internet.

Liow berkata, dia menjual kereta Harriernya pada harga RM130,000 dan bakinya dibayar menerusi pinjaman bank.


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails