Monday, December 14, 2009

GST, sumber kerajaan untuk membayar hutang?

“Pekedai runcit ada memberitahu saya yang harga beras akan naik RM2 bagi satu kampit, kenaikan juga akan berlaku untuk barang-barang lain seperti susu dan milo,”

KUANTAN, Dis 14 - Pengarah Sekretariat PKR Pahang Zaidi Ahmad menganggap cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah sesuatu yang tidak wajar dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang.

Maklum balas yang beliau terima daripada rakyat, kata Zaidi nyata memperlihatkan kesan yang membebankan di pihak pengguna.

“Pekedai runcit ada memberitahu saya yang harga beras akan naik RM2 bagi satu kampit, kenaikan juga akan berlaku untuk barang-barang lain seperti susu dan milo,” katanya.

Zaidi melihat perkembangan ini ada kaitan dengan beberapa peristiwa yang berlaku mutakhir ini termasuk sumber dana tidak diketahui untuk pakej-pakej rangsangan RM7 bilion dan RM60 bilion.

“Keadaan sebegini memungkinkan kerajaan meminjam dan menambah hutang. Siapa lagi yang bakal menanggung beban melunaskannya kalau bukan rakyat? Dan cara mana lagi kerajaan menyeluk saku rakyat kalau tidak melalui cukai seperti GST ini?” tegas Zaidi.

Sehubungan itu Zaidi turut menempelak kenyataan Menteri Kewangan Kedua yang mengatakan bahawa idea GST bukanlah sesuatu yang baru, dikatakan untuk mengganti cukai jualan dan perkhidmatan didakwa bakal menjana tambahan pendapatan sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan dalam tempoh 18 bulan selepas diperkenalkan.

Ia dijangka diperkenalkan Mac depan.

Cadangan kerajaan untuk memperkenalkan GST telah menimbulkan banyak reaksi dari pelbagai pihak, termasuk dari kalangan ahli akademik dan ahli politik.

Baru-baru ini profesor ekonomi dari Universiti Sains Malaysia Amir Baharudin turut mempersoalkan langkah ini dengan mengatakan pengenalan GST akan memberi implikasi yang cukup besar berikutan dengan perbelanjaan hidup yang semakin tinggi kebelakangan ini.

Sambil mengakui unjuran ini, Zaidi mendedahkan yang tambahan ini berkemungkinan kerana GST adalah cukai untuk semua barangan dan perkhidmatan.

Kerajaan akan mengenakan GST yang rendah berbanding kadar cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang ada sekarang, jika rancangan itu dilaksanakan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi pelaksanaan GST kerajaan akan menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang ada sekarang sementara pengecualian akan diberikan kepada kumpulan berpendapatan rendah.

“Jika RM1 bilion yang diunjurkan, maka sebanyak itulah keringat rakyat yang diperah. Cukai, dalam bentuk apa sekalipun adalah sesuatu yang pastinya menyusahkan orang-ramai,” kata Zaidi lagi.

Padahal, jelas Zaidi, PKR sudah lama memberi cadangan bagaimana mahu menambah pendapatan negara selain dari kaedah percukaian.

Antaranya ialah dengan mengawal ketirisan dalam pengurusan ekonomi negara, meminda Akta Petroliam 1974 bagi membenarkan akaun Petronas diaudit oleh Ketua Audit Negara, meningkatkan usaha pembenterasan rasuah dengan meletakkan SPRM di bawah parlimen, menghapuskan amalan kronisme dan nepotisme, tender terbuka untuk semua projek kerajaan serta menyemak semula perjanjian kerajaan dengan pembeka-pembekal tenaga bebas (IPP).


Sumber

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails