Friday, December 18, 2009

Golongan Pengampu Jahanamkan Parti - TG Hadi Awang

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan seluruh pimpinan PAS negeri Selangor supaya menjadi pemimpin berjiwa besar serta bersikap terbuka dan tidak meramaikan pengampu kerana ia akan menjahanamkan masa depan parti.


Awas! Jangan tiru aksi mengampu yang ekstreem ini.

Beliau menegaskan, menjadi pemimpin mesti rela dikritik jangan takut dikritik dan jangan berdegil untuk mempertahankan diri setelah dikritik kerana itu akan menjatuhkan maruah seorang pemimpin.

Katanya, menjadi pemimpin bukan saja untuk meraih kemenangan dalam pilihan raya tetapi lebih penting bertanggungjawab terhadap Allah SWT. Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Seminar Memperkasa Parti Memperkukuh Pakatan PAS Selangor di dewan MBSA, Shah Alam, Sabtu lalu.

Tambah beliau, apabila sudah menjadi pemimpin jangan memutuskan hubungan dengan parti (PAS) memelihara hubungan dengan masyarakat begitu juga dengan raja kerana raja merupakan sebahagian daripada perlembagaan.

"Pemimpin perlu menjaga hubungan dengan pegawai kerajaan kerana jika hubungan tidak baik apa saja perancangan akan tergendala kerana tidak mendapat sokongan daripada mereka," tegasnya.

Walaupun PAS mengalami `pasang surut' dalam pilihan raya katanya tetapi ahli PAS mencecah satu juta orang dan keistemewaan PAS kerana mempunyai ketahanan yang hebat.

Beliau berkata, PAS berjaya memecah tembok pemisah dengan pengundi bukan Islam apabila ditubuhkan Kelab Penyokong PAS disamping mengadakan tahaluf Siyasi (persefahaman politik) dengan parti dan kumpulan bukan Islam.

Katanya sokongan daripada orang bukan Islam kepada PAS disebabkan pimpinan PAS mempunyai harga diri serta prinsip dan diatas keistimewaan itu mereka menilai keberkesanan PAS.

Menurut beliau, PAS perlu membina dan memperkukuhkan kekuatan diatas asas pencapaian pengundi Islam yang menjadi tonggak sebenar kekuatan Islam, dalam masa yang sama hendaklah mendapat undi bukan Islam sebaik mungkin itu realiti politik dalam negara bermasyarakat majmuk.

Beliau turut mengingatkan peserta seminar dengan petikan hadis bermaksud; "Barang siapa yang mencari keredaan Allah walaupun dimarah oleh manusia, Allah meredai dan Allah menjadikan semua makhlum meredainya, ..."

"Keredaan ini sangat penting dan perlu bagi kita sebagai pejuang parti Islam. Kita perlu mempunyai hubungan yang kuat dengan Allah," tegasnya dihadapan pimpinan PAS Kawasan dan negeri.

Menurut beliau, PAS menjadi parti paling berpengalaman pernah menjadi pembangkang bersendirian di peringkat negeri dan pusat begitu juga memerintah kerajaan negeri secara bersendirian.

PAS juga pernah menyertai kerajaan campuran dan pernah menyertai BN di semua peringkat dan kembali bersendirian, seterusnya bekerjasama dalam bentuk angkatan perpaduan ummah dan pakatan dengan parti lain.

Justeru, ahli-ahli PAS boleh menerima keputusan pilihan raya dengan sabar dan istiqamah walaupun memakan masa dan generasi maka PAS hendaklah belajar daripada pengalaman itu secara positif.

Beliau menekankan sekarang PAS mengambil pendekatan `Tahaluf Siyasi' iaitu persefahaman politik melalui proses yang teguh di atas prinsip dan batas kebijaksanaan yang berlandaskan al-Quran dan sunnah al-Ijmak Ulamak dan Qiyas yang nyata dengan pengamatan siyasah syari'yyah mengikut Perlembagaan PAS.

"Alhamdulillah strategi kerjasama dalam bentuk tahalus siyasi itu berjaya merombak kesombongan yang wujud dalam BN sehingga kini mereka berhadapan dengan keretakan dalam BN,"tegasnya.

Selain itu beliau turut menekankan PAS akan terus bersama dengan Pakatan Rakyat untuk memimpin rakyat ke arah perubahan yang hakiki dengan memainkan peranan yang lebih aktif.

Di akhir ucapan itu beliau berharap semua pencapaian yang diperolehi PAS perlu dimuhasabah kejayaan dan kelemahan di semua peringkat sama ada kerajaan negeri, Adun dan ahli Parlimen serta memperkasakan Kelab Penyokong PAS secara aktif bagi meningkatkan kejayaan sehingga ke tahap mencapai kemenangan yang lebih besar.


Pendapat aku..

Sebenarnya golongan pengampu ini wujud dalam mana-mana parti sekalipun, bukan saja PAS malahan PKR pun tidak terkecuali.Dalam UMNO tak payah cakaplah.

Didalam PKR golongan-golongan pengampu ini amat ramai yang berada disekeliling DS Anwar Ibrahim sendiri, Bila ada Majlis yang dihadiri oleh DS Anwar Ibrahim maka berpusu-pusulah mereka menunjukkan muka mereka. Bila DS Anwar pulang mereka pun turut pulang meninggalkan majlis, walaupun majlis diadakan oleh Bahagian atau Cabang mereka sendiri.

Pulang meninggalkan AJK-AJK yang bertugas bertungkus lumus tanpa mempedulikan samada DS Anwar Ibrahim hadir atau tidak.

Memang benar apa yang TG Hadi Awang kata "Golongan Pengampu Menjahanamkan Parti" manakan tidak kalau mereka-mereka itu hanya menyatakan cerita-cerita yang indah -indah saja kepada DS Anwar Ibrahim, menyembunyikan dari pengetahuan beliau apa yang menjadi rungutan pengundi.

Apabila ditanya tentang Bahagian mereka, jawab mereka "baik, tiada masaalah" walhal hakikatnya terlalu banyak rungutan tentang ketidak puashatian para pengundi terhadap ADUN mereka.

Terlalu banyak janji-janji yang masih berbentuk janji, yang hampir setahun masih belum tertunai.

Apa yang mereka-mereka itu cari sebenarnya?


Sumber berita di sini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails