Monday, December 21, 2009

F5E : Jeneral TUDM diarah bersara.. Menteri Pertahanan bagaimana?



KUALA LUMPUR: Seorang Brigedier Jeneral Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diarah bersara kerana terbabit dalam kes kehilangan enjin pesawat F-5E TUDM serta pelbagai penyelewengan lain dalam pasukan itu sejak beberapa tahun lalu.

Pegawai terbabit mengetuai jabatan penting bagi pengendalian logistik pasukan, diarah bersara awal akhir tahun lalu selepas kehilangan enjin jet berharga RM50 juta di Gudang Material Udara I (Matra I), Sungai Besi disedari dan dilaporkan kepada polis, Januari tahun ini.

Turut dikenakan tindakan sama ialah beberapa pegawai dan anggota bawahan pelbagai pangkat yang terbabit dalam skandal itu.

Menurut sumber, tindakan diambil hasil siasatan dalaman oleh jawatankuasa disiplin selepas meneliti laporan audit dalaman yang mendapati banyak maklumat bercanggah, dipercayai berpunca daripada amalan salah laku.

Malah, siasatan kehilangan enjin jenis GE J85-21A itu turut membongkar pelbagai penyelewengan peralatan, termasuk salah laku membabitkan pelbagai kontrak bekalan bernilai jutaan ringgit dalam pasukan itu.

“Pegawai berkenaan diberhentikan atas kapasitinya sebagai ketua jabatan yang harus bertanggungjawab. Tindakan juga diambil selepas siasatan dalaman mendapati beliau terbabit dalam salah laku itu yang mengakibatkan pasukan mengalami kerugian besar," katanya.

Enjin berkenaan hilang bersama rekod perkhidmatan dan penyelenggaraannya dari gudang simpanannya di Pengkalan Udara Kuala Lumpur sebaik tiba dari Skuadron Ke-12 Scorpion Butterworth. Berikutan itu TUDM membuat laporan polis dan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyiasat kejadian itu.

Selain pegawai dan anggota TUDM, ia dipercayai turut didalangi 'orang dalam' syarikat penyelenggara pesawat tentera dilantik kerajaan yang kemudian menjualnya sebagai komponen alat ganti kepada pembeli di luar negara.

Sumber itu juga berkata, tindakan itu adalah sebahagian daripada tindakan pantas ‘membersihkan’ pasukan diketuai Panglima Tentera Udara ketika itu, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin yang kini Panglima Angkatan Tentera.

Difahamkan, hampir 40 pegawai dan anggota pelbagai jabatan yang terbabit secara langsung dalam urusan logistik dan penyelenggaraan disiasat berhubung kes itu. Bagaimanapun, hanya 20 daripadanya termasuk pegawai atasan terbabit dikenakan tindakan dalaman termasuk ada yang kehilangan pencen dan pelbagai kemudahan pesara tentera yang lain.

“Selebihnya diberikan pilihan bersara awal dan ada yang diambil semula bekerja, bergantung kepada tahap kesalahan. Brigedier Jeneral itu difahamkan mendapat pencen, tetapi tidak akan terlepas daripada pendakwaan jika siasatan polis mendapati ada bukti untuk didakwa,” kata sumber itu.

Sementara itu, walaupun kenyataan rasmi Kementerian Pertahanan menyatakan enjin berkenaan berada di Amerika Selatan, namun maklumat risikan mengesahkan ia dijual kepada sebuah negara Asia Barat yang sedang giat membina jet pejuangnya sendiri.

Difahamkan, negara yang dikenakan sekatan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu amat memerlukan enjin berkenaan untuk pemindahan teknologi kerana sukar mendapat sumber lain berikutan tindakan badan dunia itu.

Di BANTING, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan ‘orang dalam’ yang terbabit dalam kehilangan enjin itu sudah dikenakan tindakan berdasarkan senarai nama yang diberikan polis selepas siasatan mengesahkan mereka terbabit.

Namun, beliau enggan mengulas jenis tindakan yang dikenakan dan bilangan kakitangan serta pegawai TUDM terbabit.

Ditanya kemungkinan ada komponen lain dijual selain enjin, Ahmad Zahid berkata, kementerian menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk membongkar perkara itu.

Beliau juga berkata, kerajaan tidak berniat menyembunyikan kes itu kerana memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan dan menangkap dalang yang melakukan jenayah itu termasuk orang dalam.

Katanya, kes itu tidak boleh didedahkan kerana bimbang penjenayah terbabit melarikan diri, sekali gus menyukarkan polis menyelesaikan siasatan.

"Kini kes sudah selesai siasatan dan polis sedang bekerjasama dengan Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut. Kita yakin dengan kemampuan polis menyelesaikan kes ini selepas hampir dua tahun menjalankan siasatan kerana ia rumit dan membabitkan rangkaian antarabangsa," katanya.

Ahmad Zahid berkata, enjin F-5E yang sudah dijual ke negara lain tidak boleh diambil balik tetapi TUDM akan menggunakan dokumen yang ada untuk tindakan selanjutnya.


Sumber

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails