Wednesday, December 9, 2009

Dr Mahathir eksploitasi BTN, saya sudah bertaubat

KUALA LUMPUR, Dis 9 — Sambil menegaskan bahawa Biro Tata Negara (BTN) tidak relevan dalam arus pembangunan semasa, bekas Pengarahya Datuk Johari Abdul berkata Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak wajar menggunakan wang rakyat atas nama biro itu untuk menghentam Pakatan Rakyat.

Kata Johari, sebenarnya tidak ada apa yang silap dengan agensi itu tetapi menegaskan, sukatan BTN perlu dikaji semula kerana ia tidak disalahgunakan oleh pemimpin-pemimpin Umno-BN.

Bekas ahli Umno itu menambah parti itu mempunyai segala hak untuk menghadapi musuh-musuh politiknya dalam apa jua cara sekalipun.

“Tetapi jangan gunakan wang cukai rakyat untuk tujuan itu. Biar anda biaya sendiri,” katanya.

“Kalau Umno ada jabatan latihan, gunakan wang sendiri, OK tiada masalah. Tetapi jangan menggunakan wang rakyat... hendak kritik pembangkang OK, selagi ia tertakluk dalam undang-undang negara.

“Tetapi yang salah ialah apabila BTN diperuntukkan RM64 juta bagi tahun 2010 (peruntukannya digunakan untuk anjur program kritik pembangkang),” kata beliau pada Forum Adakah Biro Tata Negara Relevan Untuk Perpaduan Negara di sini malam tadi.

Kerajaan telah memperuntukkan RM64 juta di bawah Bajet 2010 untuk BTN. Pembangkang menggesa BTN ditutup.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan sukatan BTN akan dikaji semula ekoran kritikan pelbagai pihak.

Malah Nazri juga mengkritik bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai rasis apabila mempertahankan BTN.

Malah beberapa pemimpin Umno mempertahankan operasi BTN.

Semalam, Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah juga mengakui bahawa beliau pernah menjadi mangsa kecaman dalam kursus BTN selepas keluar Umno akhir 1980-an.

Johari yang kini merupakan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sungai Petani berkata, beliau menyedari tentang penggunaan BTN untuk tujuan politik semasa kepimpinan Dr Mahathir.

“BN menggunakan BTN dengan sepenuhnya untuk melakukan serangan peribadi. Ia menjadi ketara selepas 1998 (apabila Anwar dipecat) digunakan untuk memfitnah Lim Kit Siang, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Anwar Ibrahim seolah-olah mereka tidak patut berada di Malaysia,” katanya.

Johari yang mengetuai BTN selama empat tahun sebelum meninggalkannya pada 1990 berkata, beliau akhirnya “bertaubat” dengan apa yang berlaku.

“Saya tahu, tetapi saya sudah bertaubat sekarang,” katanya.

Kata Johari, pada awalnya beliau sedar akan kekurangan-kekurangan yang wujud tetapi tidak boleh berbuat apa-apa disebabkan “pengaruh” Dr Mahathir ketika itu.

Johari memberitahu ketika ditubuhkan pada 1970-an BTN hanya merupakan satu unit di Kementerian Belia dan Sukan, yang dibentuk untuk mengawal gerakan Islam yang menentang kerajaan di pusat-pusat pengajian tinggi khususnya Universiti Malaya.

Ketika itu ia diterajui oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku pegawai kerajaan.

“Dan apabila Abdullah menjadi ahli politik sepenuh masa, badan itu secara rasmi menjadi BTN dan tujuannya adalah untuk meningkatkan keyakinan di kalangan pelajar Melayu dengan memasukkan idea-idea ketuanan Melayu,” kata Johari.

Bagaimanapun apabila Mahathir menjadi Perdana Menteri, BTN digunakan sepenuhnya untuk tujuan politik Umno-BN.

Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dari 1981 hingga 2003.

“Salah satu kursus yang diberikan kepada peserta Melayu ialah mempertahankan kerajaan Umno-BN dalam apa jua cara sekali. Jika kerajaan Umno-BN jatuh, orang Melayu disemai fikiran bahawa mereka akan menjadi hamba di negara sendiri,” katanya.

“Dan keadaan menjadi semakin buruk apabila Anwar dipecat oleh Dr Mahathir dan BTN digunakan dengan sepenuhnya untuk mengecam pemimpin-pemimpin pembangkang,” kata beliau lagi.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails