Monday, December 14, 2009

Berita Buruk buat UMNO! PAS setuju dengan DASAR PR.

PETALING JAYA, Dis 14 — PAS yang mengadakan mesyuarat jawatankuasa pusat semalam telah memberikan lampu hijau kepada Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang akan dibentangkan pada konvensyen pertamanya Sabtu ini.

Langkah itu dilihat sebagai pencapaian penting dalam usaha PR untuk mengharungi liku-liku politik ikatan PAS-DAP-PKR itu.

"Ya, kami bersetuju untuk menerima. Ia pencapaian yang signifikan, kami tidak menerima bulat-bulat tetapi kepimpinan PAS telah meneliti dengan mendalam kandungan dasar bersama ini sebelum ia diluluskan," kata salah seorang ahli jawatankuasa pusat PAS, Dr Dzulkefly Ahmad kepada The Malaysian Insider.

Jawatankuasa teknikal PR dijangka melengkapkan kandungan dasar itu hari ini sebelum diterima oleh Majlis Presiden ikatan itu yang dijadual bermesyuarat esok.

Tanpa menghuraikan lanjut, Dzulkefly yang juga salah seorang ahli jawatankuasa teknikal itu menambah, beberapa perkara yang menarik boleh diharapkan daripada dasar bersama itu hujung minggu ini.

"Ini akan menjadi paksi permuafakatan bagi Pakatan dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Dasar ini menyentuh keluhuran Perlembagaan, kedaulatan Perlembagaan, demokrasi, ekonomi dan sebagainya... yang mencerminkan pendirian kami selepas 20 bulan melalui situasi jatuh bangun, yang menarik dan yang tidak menarik.

"Kini sudah sampai masa bagi kami memperlihatkan kesungguhan, lebih muafakat, wibawa untuk menghadapi masa depan," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pilihan Raya PKR Saifuddin Nasution Ismail pula berkata, konvensyen akan bermula dengan pembentangan Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

"Ia akan disusuli dengan ucapan dasar ketiga-tiga pemimpin Pakatan Rakyat dan sesi perbahasan sebelum menerima deklarasi di akhir konvensyen," katanya.

Konvensyen Pakatan Rakyat juga akan mengeluarkan deklarasi 10 perkara, kata beliau ketika ditemui.

"Dasar Pakatan Rakyat akan berteraskan pada soal persoalan demokrasi, negara hukum dan institusi negara, ekonomi, bahasa dan agama... kami mengambil pendekatan yang mudah dalam merangka dasar ini, yang menyentuh kepentingan rakyat," kata Saifuddin yang merupakan penyelaras konvensyen pertama ini.

Menurut beliau setiap anggota komponen PR akan menghantar 500 perwakilan menjadikan kira-kira 1,500 wakil akan mengambil bahagian dalam pertemuan ini.

Kata beliau usaha untuk mengadakan konvensyen ini telah dimulakan sejak dua bulan lalu selepas ia diluluskan oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat 21 Oktober lalu.

Konvensyen pertama ini akan berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam. Ia akan membincangkan Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang dimeterai Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Konvensyen ini dijangka merumuskan beberapa perkara penting, antaranya pendaftaran parti gabungan Pakatan Rakyat serta penggunaan logo bersama PR dalam pilihan raya umum akan datang.

Tema konvensyen ini adalah “Memimpin Perubahan, Menjana Kemenangan”.

Kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini menyebut konvensyen ini juga akan menjadi pemangkin kepada hasrat Pakatan Rakyat untuk menawarkan kepada rakyat Malaysia sebuah kepimpinan yang berwibawa.


Sumber

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails