Tuesday, December 15, 2009

BAYI untuk DIJUAL!! Harga dari RM15K hingga RM20K

Kemana hilangnya perasaan Kasih dan Sayang sesama insan dari hati mereka-mereka ini?
Kerana wang mereka sanggup memperdagangkan anak-anak kecil yang masih belum mengenal dunia, anak-anak kecil yang memerlukan belaian dan kasih sayang seorang Ibu..

KUALA LUMPUR: Lima bayi berusia dua minggu hingga sembilan bulan dan seorang kanak-kanak berumur tiga tahun diselamatkan polis sebelum dijual satu sindiket pada harga antara RM15,000 hingga RM20,000.

Dalam dua serbuan di Klang dan Banting, Selangor pada 4 dan 11 Disember lalu, polis turut menyelamatkan dua wanita Indonesia yang sarat mengandung serta menahan 13 individu termasuk empat pembeli terdiri daripada pensyarah, pengurus syarikat, pembantu akaun dan pekebun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata polis juga sedang menyiasat sebuah hospital swasta di sini yang dipercayai terbabit mengeluarkan dokumentasi bayi berkenaan.

Beliau berkata, sindiket terbabit dikatakan menawarkan bayaran RM5,000 kepada wanita warga asing serta tempatan yang mengandung tetapi tidak mahukan anak itu kerana bermasalah atau terbabit dalam gejala sosial.

"Wanita itu akan dijaga sindiket terbabit sehingga anak mereka dilahirkan. Kita percaya sindiket ini bergiat aktif sejak lima tahun lalu dan hasil maklumat orang ramai, kita menyerbu sebuah rumah teres di Banting pada 4 Disember lalu," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Mohd Bakri berkata, dalam serbuan pertama itu polis menahan lapan orang termasuk seorang wanita bergelar 'Auntie' serta menyelamatkan seorang bayi, seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun serta dua wanita Indonesia berkenaan.

Hasil siasatan lanjut, polis menyerbu sebuah lagi rumah di Klang, Jumaat lalu dan menahan seorang lagi anggota sindiket terbabit serta empat pembeli.

"Dalam serbuan kedua itu, kami menyelamatkan empat lagi bayi termasuk bayi Orang Asli dan merampas beberapa telefon, dokumen jual beli dan salinan buku bank untuk transaksi," katanya.

Semua 13 individu terbabit yang berusia 30 hingga 50 tahun, direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 48(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007, manakala bayi serta kanak-kanak dan dua wanita Indonesia itu diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mohd Bakri berkata, polis masih mengesan saki baki sindiket terbabit dan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat, menghubungi balai berdekatan.


Sumber

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails