Friday, December 11, 2009

Anggota CC MCA diminta letak jawatan dalam 2 minggu



KUALA LUMPUR, Dis 11 — Anggota Jawatankuasa Pusat MCA diberi tempoh dua minggu untuk meletakkan jawatan masing-masing bagi membolehkan pemilihan baru diadakan.

Perkara itu diputuskan oleh jawatankuasa khas MCA malam ini.

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang mengetuai jawatankuasa khas itu yang ditubuhkan untuk meneliti aspek-aspek teknikal mengaku ia tidak boleh memaksa mana-mana anggota CC agar berbuat demikian.

“Kami akan menggunakan kebijaksanaan politik. Kami tidak boleh menunggu hingga tahun depan untuk mengadakan pemilihan,” kata beliau selepas mesyuarat jawatankuasa khas.

Beliau menambah, parti itu sedang menghampiri peluang untuk mengadakan pemilihan baru.

Menurut beliau seramai 21 orang atau dua pertiga anggota CC mesti meletakkan jawatan.

Kini terdapat 31 anggota CC yang dipilih.

Sebelum ini 13 anggota CC telah menunjukkan hasrat untuk meletakkan jawatan.

Borang bagi tujuan itu telah dikeluarkan dua hari lalu tetapi tiada siapa yang mengembalikan borang masing-masing.

“Kami yakin bahawa anggota CC MCA adalah mereka yang mencintai parti dan mereka tahu apa yang terbaik bagi MCA dan Barisan Nasional,” kata Chua.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails