Saturday, November 21, 2009

SELAMATKAN WANG RAKYAT TERENGGANU!

Laporan Ketua Audit terhadap Peyata Kewangan Kerajaan Negeri Dan Pengurusan Kewangan Jabatan Agensi Negeri Terengganu 2008 menunjukkan KEGAGALAN, PENYELEWENGAN, RASUAH, PEMBAZIRAN DAN SALAHGUNA KUASA Kerajaan UMNO/BN Negeri Terengganu dan penglibatan segelintir pegawai-pegawai Kerajaan Negeri dalam menguruskan kewangan Kerajaan Negeri Terengganu.

HUTANG NEGERI TERUS MENINGKAT

Walaupun mendapat sumbangan Dana Khas sebanyak RM2.613 bilion dari kerajaan Pusat bagi tahun 2007 dan 2008, kedudukan akaun hasil disatukan kerajaan negeri masih defisit (kurangan).

Pada tahun 2007, jumlah perbelanjaan mengurus adalah RM1,546.52 juta berbanding hasil yang diperolehi sebanyak RM1,262.13 (defisit RM284.39 juta).

Manakala pada tahun 2008, perbelanjaan mengurus sebanyak RM1,790.10 melampaui hasil sebanyak RM146.54 juta (defisit) dengan penerimaan hasil adalah sebanyak RM1,643.56 juta. Ini bermakna Kerajaan Negeri Terengganu mengalami defisit dua tahun berturut-turut.

Laporan tersebut juga menyatakan bahawa hutang Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan yang meningkat pada tahun 2008 kepada RM997.60 juta berbanding RM937.87 juta pada tahun 2007 iaitu meningkat sejumlah RM59.73 juta atau 6.4%.


Laporan Ketua Audit Negera Terhadap Pengurusan Kenderaan Kerajaan

1. PEROLEHAN KENDERAAN MAJLIS PERBANDARAN KEMAMAN

Majlis Perbandaran Kemaman telah menandatangani satu perjanjian bagi pembelian bas dua tingkat berharga RM830,000 dengan Syarikat C.U. Tours Ltd. Part, Thailand pada 26 Julai 2005.

Semakan Audit mendapati Majlis Perbandaran Kemaman telah membuat pembelian sebelum mendapat kelulusan daripada pihak MITI. Tindakan Majlis Perbandaran Kemaman bertentangan dan menyalahi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh MITI iaitu Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil. 7 Tahun 2002 menyatakan kelulusan pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) hendaklah diperoleh terlebih dahulu sekiranya perolehan bahan/barangan import bernilai melebihi RM50,000.

Malah kelewatan menerima kenderaan daripada perjanjian yang mengakibatkan kerugian masa selama 9 bulan untuk menggunakan bas tersebut dan terpaksa menanggung kos sejumlah RM15,000.

PEMBAZIRAN RM 10.5 JUTA PROJEK SISTEM PENGANGKUTAN BAS AWAM NEGERI TERENGGANU

Kerajaan negeri membazirkan RM10.5 juta membeli 26 buah bas yang dibiarkan tersadai apabila rancangan menyediakan perkhidmatan bas antara daerah terpaksa dibatalkan.

Pada 22 Ogos 2007, Cas Ligas Sdn. Bhd. iaitu syarikat subsidiari milik Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) telah diperbadankan dengan modal berbayar RM250,000. Syarikat ini memerlukan sebanyak 26 buah bas bagi memberi perkhidmatan pengangkutan yang merangkumi enam buah bas dalam bandar dan 20 buah bas antara daerah.

Pada 19 Disember 2007, pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) telah bersetuju melantik Syarikat Cool Caliber Sdn.Bhd. untuk membekalkan 4 buah bas bandar berharga RM355,000 sebuah dan 20 buah bas antara daerah berharga RM415,000 sebuah. Manakala baki 2 buah bas bandar akan diperoleh daripada Syarikat Sumai Engineering Sdn. Bhd. dengan harga RM402,000 sebuah.

Semakan Audit mendapati:

i) Tiada Perjanjian Dibuat Antara Kerajaan Negeri Dan Syarikat Pembekal
Semakan Audit mendapati, tidak ada perjanjian disediakan antara Kerajaan Negeri dan syarikat pembekal. Hanya berdasarkan surat daripada Pejabat SUK kepada Syarikat Cool Calibre Sdn. Bhd., Syarikat perlu menghantar 10 buah bas pada 16 Mac 2008 dan baki 14 buah lagi pada 30 April 2008.

Bagaimana boleh berlaku tiada perjanjian dibuat antara SUK dan Syarikat Pembekal ? Adalah amat mencuriga dan menghairankan kenapa tidak ada sebarang dokumen perjanjian antara SUK dengan syarikat-syarikat pembekal melibatkan wang rakyat RM10.5 juta? Satu kesalahan dan tindakan penyalahgunaan kuasa yang sangat nyata !

ii) Kelewatan Penerimaan Bas
Semakan Audit mendapati Syarikat lewat membekalkan kesemua 24 bas dalam tempoh yang ditetapkan dan tidak ada denda dikenakan kepada pembekal terhadap kelewatan tersebut. Mengikut peraturan bayaran penalti sejumlah RM300 sehari bagi setiap buah bas akan dikenakan sekiranya Syarikat gagal membekalkan bas dalam tempoh yang dipersetujui.

Pihak SUK menjelaskan kelewatan penghantaran bas-bas tersebut disebabkan pengubahsuaian semula spesifikasi terhadap bas-bas tersebut untuk disesuaikan dengan kehendak dan keperluan semasa. Dalam melaksanakan pengubahsuaian tersebut, pihak SUK bersetuju di atas kelewatan bas tersebut dengan syarat tidak ada kos tambahan dikenakan.

Pihak SUK juga bersetuju tidak mengenakan apa-apa tindakan kepada Syarikat atas kelewatan tersebut akibat daripada pengubahsuaian spesifikasi tersebut. Jawapan yang sangat meragukan dan terlalu dangkal .

Bukankah sebarang pengubahsuaian semula spesifikasi terhadap bas-bas tersebut sudah pasti dibuat daripada awal lagi di antara pihak SUK dan syarikat pembekal?

Adakah kos pengubahsuaian 24 buah bas bersamaan jumlah denda sekiranya denda dikenakan kepada syarikat di atas kelewatan RM300 sehari yang berjumlah keseluruhan RM760,800?

Pengubahsuaian apakah yang telah dilakukan kepada 24 buah bas tersebut ? Dianggarkan RM31,700 kos pengubahsuaian bagi setiap bas. RM760,800 jika dikutip daripada denda kelewatan perolehan bas tersebut sudah boleh membeli 2 buah bas lagi.

iii) Bas Tidak Dapat Digunakan Mengikut Tujuan Perolehan
Pada pendapat Audit, projek pengangkutan awam tanpa membuat kajian yang teliti terlebih dahulu menyebabkan rancangan projek ini tidak dapat dilaksanakan dan objektif projek tidak tercapai.

Berdasarkan kepada keputusan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 24 Disember 2008, perkhidmatan bas antara daerah tidak dapat beroperasi kerana syarikat pengangkutan tempatan sedia ada membantah cadangan untuk bersaing di laluan yang sama, kos penyenggaraan dan operasi adalah tinggi dan sentiasa meningkat. Terlalu mudah membuat keputusan! Bagaimana dengan wang rakyat berjumlah RM 10.5 juta membeli bas-bas tersebut ?

iv) Syarikat Yang Dilantik Membekalkan Bas Tidak Berpengalaman
Laporan Ketua Audit turut menyebut syarikat berkaitan kerajaan yang dilantik bagi melaksanakan perkhidmatan bas tersebut juga diapati tidak memiliki pengalaman mengendalikan perkhidmatan pengangkutan.

Bagaimana syarikat yang tidak berpengalaman sedemikian diberikan tanggungjawab membekalkan bas-bas tersebut oleh pihak SUK ?

BAGAIMANA PEMILIHAN SYARIKAT PEMBEKAL DIBUAT OLEH SUK DAN MAJLIS PERBANDARAN KEMAMAN ?

AMK meminta penjelasan dibuat oleh SUK dan Majlis Perbandaran Kemaman terhadap pemilihan kesemua syarikat-syarikat pembekal pengangkutan tersebut.

Adakah secara TENDER TERBUKA atau PEMBAHAGIAN SECARA TERUS ? Kerana kos pembelian dan perolehan pengangkutan tersebut adalah sangat tinggi melibatkan wang rakyat jutaan ringgit.

Kos Penyelenggaraan Perdana V6 Yang Melampau

Laporan Ketua Audit Negara mengesahkan juga menemui kos pengendalian dua Proton Perdana V6 adalah lebih tinggi dan melampau dari membelinya. Sejumlah RM308, 731 telah dibelanjakan untuk dua kenderaan tersebut yang dibeli dengan harga RM234,054.

KESIMPULAN

JUSTERU, AMK NEGERI TERENGGANU MENDESAK AGAR SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH (SPRM) MENYIASAT DAN MENDAKWA SEMUA YANG TERLIBAT KE MUKA PENGADILAN.

LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA INI ADALAH SATU BUKTI YANG NYATA DAN JELAS BAHAWA BERLAKU JENAYAH, RASUAH, PENYELEWENGAN SERTA SALAHGUNA KUASA TERHADAP WANG RAKYAT YANG DIAMANAH KEPADA KERAJAAN UMNO/BN NEGERI TERENGGANU DAN PEGAWAI-PEGAWAI/KAKITANGAN KERAJAAN NEGERI YANG TERLIBAT.

SELAMATKAN WANG RAKYAT TERENGGANU!

Kenyataan media oleh Fariz Musa, selaku Ketua AMK Negeri Terengganu pada 19 November 2009.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails