JOHOR BARU, Nov 29Parti Progresif Penduduk (PPP) akan menyerahkan notis kepada Senator Datuk T. Murugiah esok untuk memintanya mengosongkan jawatan beliau sebagai Timbalan Mentri dalam masa 14 hari.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis PPP di sini hari ini, Presidennya Datuk M. Kayveas berkata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu patut meletakkan jawatan kerana beliau memperoleh jawatan itu semasa beliau masih menjadi anggota parti itu.
Murugiah dipecat daripada parti pada 16 Mei tahun ini.
Mei lalu, Kayveas berkata, tindakan tegas terpaksa diambil ke atas beliau kerana didakwa mengamalkan politik wang dan mengadakan pertemuan sulit dengan beberapa ketua bahagian parti dan mendesak mereka mencabar kedudukan Presiden PPP pada pemilihan bulan Jun.
Pada Ogos lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kedudukan Murugiah sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan ditentukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
TheMalaysianInsider
