Sunday, November 8, 2009

PAS perlu bersikap terbuka.. jangan semua dipersalahkan kepada UMNO!

"PAS harus melihat ke dalam parti dan mencari jalan untuk membetulkan apa juga masalah yang timbul, bukan menyalahkan Umno setiap kali berlaku sesuatu yang negatif terhadap parti itu.


KUALA LUMPUR, Nov 7 — PAS tidak akan berupaya menjadi parti alternatif sekiranya tidak dapat menerima perlembagaan negara yang mengiktiraf masyarakat bukan Islam, kata pemerhati politik Prof Dr Abdul Aziz Bari.

"Ini satu perlembagaan yang kita kenal... kalau kita tak mahu akui maka kita tak boleh jadi parti alternatif.

"Jadi, jangan lompat (melenting dan mempersoalkan) bagaimana dengan Islam? Kena tumpu juga kepada bukan Islam dan fokus bagaimana nak menangi hati mereka,” katanya.

Pensyarah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu berkata demikian semasa membentangkan pandangan beliau pada seminar politik PAS di sini.

Beliau dan Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dari Universiti Malaya adalah dua pemerhati politik yang diundang PAS bagi memberi pandangan alternatif dalam usaha parti itu memperkasakan parti.

Abdul Aziz juga menyelar sikap PAS yang gemar menyalahkan Umno setiap kali berlaku sesuatu yang negatif terhadap parti itu.

PAS sebaliknya harus melihat ke dalam parti dan mencari jalan untuk membetulkan apa juga masalah yang timbul.

"PAS harus menjadi sebuah parti yang terbuka dan menjadi tumpuan rakyat adalah lumrah, jadi jangan lagi bermain cara lama, ada benda sikit salahkan Umno, ini tidak harus dilayan, kita harus fokus apa yang ada dalam parti,” kata Abdul Aziz.

Abu Hassan pula berkata, PAS bermungkinan berdepan dengan masalah besar pada pilihan raya umum akan datang memandangkan kajian menunjukkan golongan muda mempunyai tanggapan negatif terhadap keupayaan kepimpinan parti sekarang.

Katanya, kajian yang dijalankan beliau bagi menjangka keputusan pilihan raya umum ke-13 itu juga menunjukkan golongan muda tidak kenal dengan pemimpin-pemimpin PAS.

"Menurut survey (kaji selidik) itu yang mereka kenal cuma Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (bekas menteri besar Perak), Mohamad Sabu dan Datuk Seri Azizan Abdul Razak (Menteri Besar Kedah),” katanya.

Abu Hassan berkata, kajian berkenaan turut meneliti laman-laman blog berunsur politik dan mendapati blog-blog yang sebelum ini menyokong PAS telah kembali menjadi ”atas pagar”.

"Kajian menunjukkan blog-blog sedemikian meningkat 213 peratus,” katanya.


Bernama

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails