Monday, November 2, 2009

PAS Keliru, Buang masa .. Prof Aziz Bari

Saya telah menyebut betapa Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah berjaya apa pun hasil dan keputusan malam itu. Berjaya dalam maksud mengetengahkan masalah yang ada. Berjaya dalam memahami sentimen dan keresahan para pengundi dan penyokong parti di luar.

Imej yang kelihatan tatkala Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertemu dengan media selepas tamatnya mesyuarat Jawatankuasa Agung (JKA) malam Rabu lalu, ialah betapa beliau tidak begitu tepat dan tegas dalam melayan soalan wartawan. Terpaksa Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung, dan kemudian Salahuddin Ayub, Naib Presiden, membantu.

Lebih penting Pas umumnya dan Abdul Hadi khususnya gagal mengambil satu tindakan yang tegas. Kelihatannya mereka masih enggan mengakui masalah yang ada. Bagaimanapun berdasarkan maklumat yang diterima tidak semua dalam JKA begitu: kononnya 75 peratus daripada mereka yang hadir malam itu mahukan tindakan tegas ke atas Ahli Exco Selangor dan Pesuruhjaya Pas negeri Datuk Dr Hasan Ali. Jadi apabila Abdul Hadi mengumumkan seminar dan hanya tindakan ke atas Selangor tanpa menyebut Hasan banyak tafsiran timbul.

Saya telah menyebut betapa Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah berjaya apa pun hasil dan keputusan malam itu. Berjaya dalam maksud mengetengahkan masalah yang ada. Berjaya dalam memahami sentimen dan keresahan para pengundi dan penyokong parti di luar.

Ini semua nampaknya masih dinafikan oleh Abdul Hadi dan kumpulannya. Nik Aziz juga berjaya menunjukkan kepada rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat tentang perlunya mereka membersihkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang didesak supaya mengambil langkah yang sama dalam PKR yang masalah dalamannya makin banyak dilaporkan.

Saya telah menyebut betapa langkah drastik yang perlu diambil Pas tidak akan memecahkan parti. Selain sebab-sebab yang telah saya kemukakan sebelum ini sejarah parti itu juga menyokong pendapat saya. Ini termasuklah ketika Pas membuat keputusan menyertai Barisan Nasional pada 1973.

Meskipun presiden ketika itu Datuk Asri Haji Muda menerima tentangan yang kemudian diserlah dalam bentuk satu barisan calon bebas pada PRU 1974, Pas tidak pecah. Begitu juga apabila Asri dan pasukannya keluar Kabinet Datuk Hussein Onn, meninggalkan panglima jihad Pas Datuk Haji Hassan Adli keseorangan di dalam kerajaan. Walaupun Kelantan terlepas dan Berjasa tertubuh selepas Pas dipecat dari Barisan pada 1978 parti itu kekal. Sebaliknya Berjasa yang kemudiannya terbubar.

Pas juga utuh apabila Asri meninggalkan parti dan menubuhkan Hamim pada 1982. Cabaran ketika itu kuat kerana Pas - diterajui oleh Datuk Fadzil Noor yang mula aktif dalam parti mulai PRU 1978 – terpaksa berhadapan dengan Anwar yang menyertai UMNO hasil pujukan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berkat kepemimpinan Fadzil Pas berjaya menawan kembali Kelantan – yang kekal hingga sekarang – pada 1990. Kecekapan Fadzil membaca gelombang reformasi selepas Anwar dipecat oleh Mahathir pada 1998 membolehkan Pas menawan Terengganu pada 1999. Fadzil juga mencipta rekod dengan meletakkan Pas sebagai parti pembangkang terbesar dalam Parlimen sekali gus meletakkan beliau sebagai Ketua Pembangkang Melayu pertama dalam sejarah Malaysia.

Saya tidak fikir mereka yang dilabelkan sebagai pemimpin bermasalah oleh Nik Aziz mempunyai ketokohan sehebat nama-nama tadi. Dengan itu apa yang hendak ditakutkan? Tapi nampaknya Abdul Hadi tidak berfikir begitu.

Apa pun kesalahan Hasan Ali cukup jelas. Justeru menubuhkan jawatankuasa disiplin untuk menanganinya adalah kerja sia-sia. Membuang masa. Saya fikir tidak ada alasan undang-undang yang Hasan boleh gunakan untuk mempertahankan dirinya. Baik undang-undang perlembagaan mahupun undang-undang pentadbiran. Apa pun perlembagaan adalah undang-undang utama negara. Perlembagaan mengatasi undang-undang lain termasuk perlembagaan-perlembagaan parti politik, termasuk Perlembagaan Pas.

Sebab itu pada saya penubuhan jawatankuasa disiplin itu hanya helah Abdul Hadi dan kumpulannya untuk mempertahankan Hasan khususnya dan kumpulan mereka umumnya. Mereka tidak mahu mengaku kalah.

Selain itu masalah yang dihadapi sekarang adalah masalah politik, bukan masalah undang-undang. Kalau ia masalah undang-undang sekali pun semuanya cukup jelas. Dalam undang-undang wujud apa yang dipanggil ‘judicial notice’ atau pengiktirafan kehakiman. Ini merujuk kepada sesuatu yang tak perlu dibuktikan. Prinsip ini terpakai dalam hal-hal yang semua orang nampak dan semua orang tahu. Seperti matahari naik di sebelah timur dan turun di sebelah barat. Ini tak perlu disiasat atau memerlukan saksi. Gelagat Hasan Ali semua orang tahu. Mengapa dia salah pun semua orang tahu. Semua ini ada dalam perlembagaan. Hanya mereka yang degil dan tak mahu mengaku saja yang tidak nampak. Saya berasa lucu bila soal Abdul Hadi dan kumpulannya pertuduhan dibangkitkan. Ini bukan soal jenayah. Atau soal pembuangan kerja melibat kakitangan awam.

Mungkin Abdul Hadi dan kumpulannya mengharapkan mahkamah membuat tafsiran undang-undang yang pelik sebagaimana mahkamah membuat penghakiman yang aneh dalam kes-kes yang melibatkan krisis politik di Perak! Ini tidak mustahil kerana tindak tanduk Abdul Hadi dan kumpulannya, khususnya Hasan Ali, menguntungkan UMNO. Di negara ini banyak perkara pelik – yang tidak mungkin berlaku di negara lain – telah berlaku.

Apa pun elok Nik Aziz teruskan apa yang dimulakannya. Seperti yang saya katakan beliau telah menang. Paling tidak sedang mendahului. Hanya bilangan gol yang kita belum tahu. Setakat ini memang Abdul Hadi dan kumpulannya sedang mencari helah untuk bertahan. Tetapi saya tidak fikir mereka boleh bertahan lama. Apa yang berlaku sekarang pun sudah cukup untuk meletakkan kumpulan itu dalam keadaan bertahan. Itu pun dalam parti. Di luar sana susah untuk mereka menegakkan hujah-hujah mereka. kalau para pemimpin Pas di peringkat akar umbi emosi dan tidak mahu mengakui masalah yang telah pun diungkapkan oleh Nik Aziz mereka akan hanyut bersama Abdul Hadi dan kawan-kawannya.

Seperti yang saya telah katakan sebelum ini Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim boleh bertindak ke atas Hasan. Sebenarnya – sebagaimana yang telah pun dinyatakan oleh perlembagaan dan disahkan oleh mahkamah dalam kes Anwar Ibrahim – anggota Kabinet boleh dipecat bila-bila dan atas apa sebab sekalipun. Hatta tanpa sebab pun ketua kerajaan boleh berbuat demikian. Pada hakikatnya di sisi undang-undang Khalid tidak perlu peduli kepada hasil dan prosiding jawatankuasa disiplin yang ditubuhkan oleh Pas.

Ketika ini Khalid selesa kerana duri dalam daging yang memeningkan kepada selama ini sudah pun diselesaikan oleh UMNO. Selain itu dengan meninggalkan PKR dan berkawan dengan UMNO-Barisan Nasional Badrul Hisham Abdullah telah mengesahkan kedudukan UMNO sebagai pengumpul sampah dan barang lusuh sebagaimana yang mereka lakukan di Perak, di Kedah dan sekarang di Selangor.

Khalid perlu nekad dalam mempertahankan imej Pakatan. Lagipun Pas, kecuali Nik Aziz, macam tidak sungguh-sungguh. Perkara yang mudah dan jelas ditangani dengan cara yang pelik dan berbelit-belit. Hasan Ali telah melanggar perlembagaan dan sesiapa yang mempertahankannya akan tenggelam bersamanya.


* Profesor Dr Abdul Aziz Bari mengajar undang-undang di UIAM, Gombak.


Sumber Sinar Harian.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails