Saturday, November 21, 2009

Nazim Razak terbabit dengan penarikan balik akuan bersumpah mengaitkan Najib

Dalam siri akhir wawancara P Balasubramaniam di depan tiga peguam terkenal, penyiasat persendirian itu mendedahkan siapa adik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang terbabit dengan penarikan balik akuan bersumpah mengaitkan Najib dengan kes Altantuya Shaariibuu.

Bala yang pernah bertugas dengan Abdul Razak Abdullah Baginda, kenalan rapat Najib menyebut nama Datuk Mohamed Nazim Razak dalam wawancara itu seperti yang dilaporkan dalam laman web Malaysia Today hari ini.

Sebelum ini, dalam empat bahagian awal wawancara berkenaan, Bala tidak menyebut nama Nazim kecuali sekadar adik Perdana Menteri dengan gelaran “seorang Datuk VIP” yang ditemui di The Curve, Damansara pada malam selepas membuat akuan bersumpah yang menggemparkan itu.

“Beliau datang bersama seorang wanita yang sedang sarat mengandung. Saya rasa itu isterinya. Walaupun saya tidak bercakap dengannya (wanita itu), saya mengenalinya sebagai seorang personaliti TV3 yang pernah menjadi pengacara rancangan Nona,” Balasubramaniam dipetik berkata.

Bala menggemparkan negara pada 3 Julai tahun lalu apabila muncul di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya dan mengumumkan akuan bersumpahnya yang mengaitkan Najib, waktu itu timbalan perdana menteri, dengan wanita Mongolia itu yang dibunuh sebelum mayatnya diletupakn dengan bom C4 di hutan berdekatan Puncak Alam.

Bagaimanapun, keesokannya pada 4 Julai, penyiasat persendirian itu sekali lagi menggemparkan negara apabila menarik balik kenyataannya dalam akuan sumpah awal melalui akuan kedua di sidang media yang diadakan secara tergesa-gesa dan kelam-kabut sebelum menghilangkan diri secara misteri di luar negara.

Dalam bahagian kelima wawancara ini, beliau turut mendakwa ahli perniagaan permaidani yang dikenali sebagai Deepak, orang tengah yang terlibat dalam perancangan membawanya ke luar negara, memberitahunya isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor gembira dengan tindakannya membuat penafian pembabitan Najib-Altantuya dan “ingin bersarapan dengannya”.

Najib menafikan pembabitannya dengan wanita tersebut, sementara Abdul Razak pula dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat membunuhnya.


Freemalaysiatoday

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails