Saturday, November 7, 2009

Najib perbodoh PM lalu dan balas dendam kepada rakyat Kelantan

Seluruh rakyat di negara kita telah sekali lagi menjadi saksi terhadap ucapan yang dibuat oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan asal Ahli Parlimen PAS dari Kubang Kerian mengenai pemberian hasil royalti minyak kepada negeri Kelantan.

Dalam jawapannya, Dato Seri Najib menjelaskan bahawa negeri Kelantan, dan juga Terengganu, tidak mempunyai hak untuk menuntut pembayaran royalti petroleum.

Seterusnya Dato’ Seri Najib mengumumkan :

“Dengan ini saya dengan sukacitanya memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah mengambil keputusan untuk menyediakan peruntukan wang ihsan bagi negeri Kelantan sama seperti negeri Terengganu”.

Kenyataan dari Perdana Menteri ini telah menafikan kewujudan Perjanjian Petroleum antara negeri-negeri dengan Petronas yang ditandatangani oleh semua Menteri Besar, yang juga telah dilaksanakan di negeri Terengganu dengan bayaran mengikut perjanjian royalti yang menjadi hak kerajaan negeri dan telah dibayar sejak dari tahun 1978 hingga Mac 2000.

Hakikat wujudnya hasil royalti ini sebenarnya telah tercatat dalam penyata rasmi parlimen melalui jawapan rasmi menteri, ucapan Perdana Menteri sebelum ini dan ianya juga ditulis dalam bajet kerajaan negeri yang menerima royalti ini, termasuklah negeri Terengganu.

Terdapat begitu banyak bukti dokumen bertulis yang dapat dibaca oleh rakyat menerusi catatan penyata rasmi parlimen yang menjelaskan bahawa terimaan oleh negeri Terengganu umpamanya adalah terimaan royalti dari minyak dan gas – antaranya lihat dalam Penyata Rasmi Dewan Rakyat 19 Oktober 1993 dan 30 April 1997, Penyata Rasmi Dewan Negara 28 Julai 1999 dan lain-lain.

Dalam Penyata Rasmi Dewan Rakyat 19 Oktober 1993 di mana Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Dato' Wong See Wah) menyatakan: “..Sejak bulan Ogos 1975 sehingga bulan Februari 1993, PETRONAS telah membayar royalti sebanyak RM3.71 juta kepada Kerajaan Negeri Terengganu, RM1.49 ribu juta kepada Kerajaan Negeri Sabah dan RM2.79 ribu juta kepada Kerajaan Negeri Sarawak”.

Kesimpulannya ialah :

1. Kenyataan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib ini telah membodohkan Perdana Menteri yang lalu seolah-olah Perdana Menteri yang lalu telah mengambil tindakan yang salah dalam memberikan royalti minyak, bukan sebagai wang ihsan.

2. Pembatalan royalti petroleum kepada negeri Terengganu pula dilakukan di atas sebab dendam politik setelah PAS memerintah Terengganu pada tahun 1999.

3. Pembatalan royalti petroleum di Terengganu juga dalah hasil dari desakan yang timbul dalam Perhimpunan Agung Umno.

Maka PAS beranggapan bahawa apa yang dilakukan kepada negeri Kelantan adalah berdasarkan alasan yang sama, iaitu tindakan politik balas dendam terhadap negeri Kelantan yang dipilih oleh rakyat secara sah melalui sistem demokrasi.

Kita mencabar kerajaan pusat supaya merujuk perkara ini kepada mereka yang masih hidup yang terlibat dengan perjanjian berkenaan iaitu Tun Salleh Abas yang terlibat secara langsung merangka draf Akta Penggunaan Petrolium 1974 sewaktu menjadi Peguamcara Negara dan YB Tengku Razaleigh Hamzah yang menjadi Menteri Kewangan pada ketika itu.

Kita juga meminta supaya permohonan kerajaan negeri Terengganu melalui mahkamah yang telah difailkan sejak bertahun-tahun lalu dibuka dengan segera dan dilaksanakan perbicaraan yang adil dan telus, berdasarkan kepada konsep pemisahan kuasa antara badan kehakiman dengan pihak berkuasa mengikut amalan negera-negara demokrasi yang sebenar.



Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails