Thursday, November 26, 2009

Moga awan mendung berlalu....

Petang dua hari lepas semasa saya diselimuti gugusan awan yang gelap gulita, saya merenung jauh dari tetingkap “bebelon” firefly yang membawa saya pulang dari perkhemahan tarbawi Dewan Pemuda PAS Malaysia selama tiga hari di sebuah kem perkhemahan di pinggir bukit di hutan Sepang, Selangor.

Pandangan saya sepi. Kosong-sekosong pamandangan di luar. Gunungan awan gelap merempuh kuat menyebabkan krew kapal dua kali memberi peringatan berjaga-jaga.

Ia seperti ingin menyentap khalayan jauh saya untuk membenarkan laporan keadaan cuaca dan banjir di Kelantan dan beberapa negeri lain yang semakin teruk. Saat kapal merendahkan ketinggian untuk mendarat, saya menghulur kepala menekap di cermin untuk melihat genangan air memenuhi kawasan rendah dan pinggir yang melimpah keluar dari liuk lampai sungai-sungai yang telah bekerja dan bertasbih siang dan malam melimpahkan seribu rahmat kurniaan tuhan ke atas rakyat negeri Kelantan Darul Naim tercinta.

Awan dan angin begitu kencang melanda dan hujan turun begitu lebat sedang saya begitu ketagih untuk melihatnya segera reda dan berlalu. Biarlah ia reda sebagaimana pengumuman ayahanda yang mengarahkan menantunya, juga ipar saya, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman meletakkan jawatan sebagai CEO PMBK sehari sebelum itu telah meredakan kepanasan suhu politik negeri Kelantan, apatah suasana sedih dan muram yang melanda keluarga.

Moga awan hitam berarak lalu meninggalkan kami sekeluarga sekalipun ia telah meninggalkan kesan luka dan calar yang mendalam buat ayahanda. Biarlah begitu kendatipun masih ada orang yang mahukan ayahanda menjirusnya dengan air mawar yang harumi buat menutup tengik aib yang terpalit.

Semasa saya dan para sahabat Dewan Pemuda PAS, termasuk Ketua Pemuda, ustaz Nasrudin Tantawi bersenda loka sambil melihat ringan tubuh Ustaz Mohd Yusni Mat Piah, Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang bergayut di antara dahan–dahan pohon rambutan menggapai dan memetik buahnya yang manis lalu menghulurkannya kepada kami di bawah sementara kami bersiap-siap untuk mula meninggalkan kem perkhemahan, saya menerima SMS daripada seorang kawan di Kelantan memaklumkan berita ura-ura peletakan jawatan seorang pemimpin PAS kesayangan ayahanda.

Saya bungkam beberapa ketika. Beberapa hari sebelum perkhemahan, saya telah diberi ingat oleh seorang rakan bahawa politik desas-desus peletakan jawatan akan mengisi kocak air politik negeri Kelantan tidak lama lagi. Ia dirancang dan rancangan itu disusup keluar dari peti yang tiris dek karat besi yang dititis air mata keinsafan. Saya enggan membenarkan tetapi saya dipaksa menerima hakikatnya pada pagi itu.

Kesan yang dinanti harapkan adalah ayahanda menghulurkan mawar. Ia menjadi. Ayahanda menjirus dengan harumi mawar di tepian telaga Kauthar, bukan merenjis di kubur yang menanti sepi.

Ayahanda sentiasa hebat. Ia dihidupkan untuk memberi, bukan mengambil. Dia dihidupkan untuk dunia, bukan hanya untuk Malaysia dan Kelantan sahaja. Di dunia Islam, orang kata dia di angka 42.

Sambung baca disini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails