Thursday, November 26, 2009

KHUTBAH AL-WIDA’ (Khutbah Perpisahan) - Bahagian 1

Pesanan Dan Peringatan Penting Buat Umat Islam dan Pemimpin Mereka

Di sebalik amaran dan ancaman penyakit selesema H1N1, musim haji kali ini tetap berjaya menghimpunkan jutaan umat Islam bagi melakukan suatu pengorbanan yang besar di sisi Allah SWT.

Namun demikian, terdapat satu amaran lain ke atas umat Islam dalam menunaikan ibadah haji tahun ini. Ia merupakan satu ancaman yang datangnya dari ‘penjaga’ haramain (pemerintah Saudi) itu sendiri, di mana beliau mengancam umat Islam agar tidak menjadikan pertemuan besar di tanah suci itu untuk membincangkan perkara-perkara politik.

Sungguh hina apa yang dilakukan oleh si pengkhianat umat ini! Beliau melarang umat Islam dari membincangkan urusan politik walhal politik itu adalah sebahagian dari Islam. Siapa tak kenal Raja Abdullah yang sesungguhnya merupakan penjaga kuffar Amerika dan langsung tak layak menjadi penjaga rumah Allah yang suci.

Tidak ada seorang manusia pun yang berhak menghalang manusia lain dari membincangkan perihal Islam, apatah lagi di tanah suci, baik dari segi perbincangan politik, ekonomi, sosial, ibadah dan sebagainya.

Sesungguhnya di tanah suci inilah Rasulullah SAW dahulu memulakan perjuangan politik baginda di mana para sahabat diseksa dan dibunuh dalam usaha mereka membebaskan rumah Allah ini dari segala taghut dan kekufuran untuk digantikan dengan hukum dan sistem Islam.

Setelah 13 tahun perjuangan berlangsung di Mekah, Rasulullah dan kaum Muslimin kemudian berhijrah ke Madinah dan peristiwa hijrah yang penuh bersejarah itu telah menjadi titik perubahan kepada landskap politik dunia di mana Daulah Islam yang pertama telah ditegakkan dan agama Allah buat pertama kali telah diterapkan dalam bentuk bernegara.

Setelah Islam menjadi tampuk politik negara, negara baru (Daulah Islam) ini mencapai kemenangan demi kemenangan, sehinggalah kota Mekah, tempat di mana kaum Muslimin dahulunya ditindas dan diusir, berjaya ditawan.

Lalu berakhirlah segala sistem kufur di tanah suci ini dan diganti dengan sistem Islam. Sejak itu, manusia boleh beribadah kepada Allah dengan aman di bawah naungan sistem politik dan pemerintahan Islam.

Pada tahun ke-10 setelah hijrah, satu lagi peristiwa bersejarah tercatat di kota suci ini di mana Rasulullah dan kaum Muslimin telah berangkat menyambut perintah Allah untuk menunaikan ibadah haji.

Setibanya di Mekah, baginda bertolak ke Arafah dari Mina setelah naiknya matahari pada 9 Zulhijjah. Sebuah khemah didirikan untuk baginda dan baginda masuk serta berada di dalamnya sehinggalah tergelincir matahari (waktu zohor). Selepas itu, baginda pun mengarahkan disiapkan untanya al-Qaswah, lalu baginda menaikinya sehinggalah tiba di Wadi Uranah.

Di hadapan baginda, para sahabat dan ribuan kaum Muslimin semuanya menanti dengan penuh sabar dan debar untuk mendengar apakah yang akan disampaikan oleh kekasih Allah ini. Padang Arafah menjadi saksi akan satu peristiwa penting yang tidak akan dilupakan oleh setiap insan yang beriman kepada Allah dan Rasul.

Di sinilah Rasulullah SAW telah menyampaikan khutbah baginda yang terakhir kepada umatnya yang dikenali dengan Khutbah al-Wida’ (khutbah perpisahan), satu khutbah yang menyentuh jiwa dan perasaan setiap manusia yang mendengarnya.

Isi kandungan khutbah wida’ yang disampaikan oleh Rasulullah SAW itu merupakan sesuatu yang sentiasa segar di ingatan umat Islam sepanjang zaman. Dan jika diperhalusi dan diteliti dengan mendalam akan kandungan khutbah tersebut, sesungguhnya ia penuh dengan pesanan dan ingatan kepada umat Islam amnya dan para pemimpin khususnya akan hukum-hukum (undangundang), kewajiban dan keharaman yang wajib mereka patuhi.


Bersambung..

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails