Wednesday, November 4, 2009

JAIS diminta mengadap Sultan Selangor

Kerajaan negeri hari ini meminta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menghadap Sultan Selangor untuk memberi penjelasan mengenai isu pemberian tauliah untuk mengajar agama di negeri itu serta isu kontroversi penangkapan bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ia merupakan kaedah terbaik bagi mengendalikan isu-isu yang mencetuskan kontroversi tersebut.

Dalam mesyuarat exco hari ini, pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dipanggil memberikan taklimat berhubung isu tersebut.

Difahamkan beliau mengambil masa hampir sejam menjelaskan mengenai operasi jabatan itu dalam menguatkuasakan undang-undang syariah negeri.

"Oleh kerana penguasaan pentadbiran agama Islam di bawah Tuanku Sultan, maka kita telah meminta Jais berjumpa Tuanku Sultan supaya membincangkan perkara yang telah dibangkitkan (dalam mesyuarat exco) supaya mendapat persetujuan tentang beberapa perkara untuk dilaksanakan," kata menteri besar.

"Saya tidak akan menyebut perkara tersebut kerana itu masih dalam perbincangan," kata Abdul Khalid

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco negeri, Abdul Khalid menolak tanggapan bahawa kerajaan negeri mahu lepas tangan dalam isu tersebut.

"Tidak, kita campurtangan. Walaupun Jais merupakan jabatan di bawah kerajaan negeri, tetapi itu dari segi operasi. Dari segi kuasa pentadbiran dan dasar mengenai agama Islam, ia di bawah naungan Tuanku Sultan," jelas Abdul Khalid.


Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails