Sunday, October 25, 2009

Sabar Tok Guru.. Sabar..

Bernama (23/10/09): Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau sedia menghadapi sebarang kemungkinan jika cadangannya supaya PAS mengadakan Muktamar Agung Luar Biasa boleh mencetuskan perpecahan di kalangan anggota partinya.

Katanya beliau sedia berbuat sesuatu bagi menyelamatkan parti daripada terus menimbulkan tanda tanya berhubung cadangan beberapa pemimpin tertinggi parti berhubung isu kerajaan perpaduan sehingga menimbulkan kecelaruan dalam parti.

Katanya, beliau bosan dengan gelagat beberapa pemimpin yang membangkitkan isu kerajaan perpaduan yang disifatkan sesekali timbul dan sesekali tenggelam.

"Ini untuk mengelakkan orang tertanya-tanya dan teraba-raba, dan tergantung tanpa diambil sesuatu tindakan.

"Sedangkan kita (PAS) sebuah parti Islam, maka saya kena buat sesuatu untuk menentukan kedudukan pemimpin, termasuk Presiden sendiri," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka, dekat sini, Jumaat.

Beliau mengesahkan mengemukakan pandangan itu dalam laman blognya semalam, kerana kecewa dengan sikap beberapa pemiMpin yang sering menimbulkan masalah dalam parti kerana membangkitkan isu kerajaan perpaduan sedangkan PAS sudah membuat keputusan muktamad tidak akan bekerjasama dengan Umno atas dasar politik.

Ini kerana, katanya, ia telah diputuskan dalam Muktamar Aung parti itu tahun lepas.

Ditanya sama ada muktamar luar biasa itu boleh menimbulkan perpecahan di kalangan anggota parti, Menteri Besar Kelantan itu menegaskan: "Nak pecah, pecah gi lah apa boleh buat. Saya tak suka orang tegur Presiden saya, kedudukan pemimpin (termasuk Presiden atau pemimpin lain) bergantung kepada keputusan muktamar.

Menurutnya cetusan cadangan supaya mengadakan muktamar biasa itu lahir daripada artikel penganalisis politik Aziz Bari dan teguran rombongan daripada Sabah dan Sarawak yang mempersoalkan beberapa kerat pemimpin PAS yang condong kepada Umno berikutan usaha mewujudkan kerajaan perpaduan.

"Saya sedih kerana ada pemimpin yang tidak menghormati keputusan muktamar agung itu, dan saya tidak suka orang tegur parti dan pemimpin saya, tanpa saya berbuat sesuatu, senyap," katanya.

Menurutnya, soal untuk mengadakan muktamar luar biasa atau apa bentuk sekalipun ia terpulang kepada parti kerana baginya beliau sudah berpuas hati dapat menyuarakan perasaannya dalam menangani isu itu.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails