Thursday, October 8, 2009

PAS dedah kempen BN di Kem Tentera.



Jimadie Shah Othman Oct 8, 09 1:45pm

kemaskini 2.58pm Pemuda PAS hari ini mendedahkan rakaman suara dua pemimpin BN yang didakwa menawarkan rasuah politik kepada tentera dengan berselindung di sebalik majlis sambutan Aidilfitri menjelang pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang.

Di Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED) di Port Dickson pagi kelmarin, Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi berjanji menawarkan bantuan pendidikan untuk anak tentera, pembinaan kolam renang, gelanggang futsal dan perkhidmatan internet tanpa wayar jika mereka menyokong BN.

Menurut rakaman tersebut lagi, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan pula berjanji kepada pemilih undi pos ini untuk menghulurkan bantuan RM100,000 untuk menaiktaraf sebuah surau di IJED.

Di kem tentera tersebut, menurut PAS, seramai 847 pemilih pos layak membuang undi.

Bagaimanapun parti itu tidak menjelaskan jumlah kehadiran tentera di majlis tersebut dan sama ada keraian itu khusus diadakan untuk anggota di kem IJED sahaja.

PAS sebelum ini menyatakan ia mempunyai "mata-mata" di kalangan anggota-anggota tentera untuk memantau kempen BN di kem-kem pasukan keselamatan itu.

Rakaman tersebut dimainkan dan diedarkan kepada wartawan dalam sidang media Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur pagi ini.

Ketika rakaman kira-kira sepuluh minit itu dimainkan, timbul kelucuan di kalangan petugas media apabila Nasrudin secara berseloroh berkata: "(Janji tersebut) macam Santa Claus".

Naib ketua dewan itu SabkyYusuf, setiausaha Kamaruzaman Mohamad dan ketua penerangan Suhaizan Kaiat, yang juga pengerusi jawatankuasa undi pos Pemuda PAS, turut hadir.

Nasrudin berkata, perbuatan Zahid dan Mohamad jelas melanggar peruntukan dalam Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya, berkaitan larangan menyogok pengundi secara langsung atau tidak langsung.

"Dan pihak Pemuda PAS akan membuat laporan kepada pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membolehkan kita membatalkan keputusan pilihan raya sekiranya (keputusan pengundian) berpihak kepada BN," katanya.

Ditanya bila laporan itu akan dibuat, Nasrudin berkata, aduan kepada polis dijangka dibuat pada 6 petang ini di ibu pejabat polis Port Dicskson.

Sementara aduan kepada SPRM, tambahnya, akan dibuat segera. "SPR pula, tiap-tiap hari kita jumpa," kata Nasrudin.

Beliau menegaskan lagi jaminan Pemuda PAS untuk menyediakan khidmat guaman percuma kepada tentera jika dikenakan tindakan kerana mengundi calon PAS Zulkefly Mohamad Omar pada Ahad ini.

"Setakat ini, kita terima maklumat, ada tentera yang menerima risalah, yang kita edarkan di sekitar kem, dipanggil dan diambil namanya," jelasnya.

Dengan penuh yakin, Nasrudin berkata, dewan itu kini mampu mengesan sebarang manipulasi undi pos sekiranya berlaku dan tidak akan teragak-agak menyaman pihak yang terbabit.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails