Sunday, October 25, 2009

Majlis Syura dan Jawatankuasa Pusat bincang keperluan muktamar khas

'sidang media ini dibuat untuk menjelaskan sikap dan pendirian pimpinan utama PAS ekoran cadangan Nik Aziz agar diadakan muktamar khas untuk memilih semula pimpinan parti Islam itu'


PAS mengambil pendirian untuk membincangkan cadangan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tentang keperluan mengadakan muktamar khas "dalam tempoh terdekat ini."

Pendirian ini dinyatakan melalui satu kenyataan ringkas lima perenggan dikeluarkan Ketua Penerangan, Ustaz Idris Ahmad.

Kenyataan itu memberitahu cadangan Mursyidul Am itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Syura dan Jawatankuasa Pusat.

PAS juga akan mendapatkan penjelasan daripada Mursyidul Am berhubung pandangannya tentang keperluan mengadakan muktamar khas.

"Sama ada muktamar khas luar biasa itu perlu diadakan atau tidak, kita perlu dengar dahulu penjelasan daripada Mursyidul Am," kata Idris ketika dihubungi Harakahdaily.

Idris juga menggesa pemimpin-pemimpin PAS agar tidak membincangkannya secara terbuka untuk mengelakkan isu ini dimanipulasi.

"Adalah menjadi satu kewajipan untuk setiap pimpinan dan ahli bertenang dalam menghadapi isu ini serta tidak melatah hingga memberikan peluang kepada pihak luar melontarkan lebih banyak peluru atau prasangka yang boleh memburukan imej parti," tegas kenyataan itu lagi.

Harakahdaily difahamkan, sidang media ini dibuat untuk menjelaskan sikap dan pendirian pimpinan utama PAS ekoran cadangan Nik Aziz agar diadakan muktamar khas untuk memilih semula pimpinan parti Islam itu.

Ini adalah untuk kesekian kalinya Nik Aziz membuat kenyataan yang mempertikaikan kenyataan dan tindakan para pimpinan PAS. Ia dibuat dalam blognya 22 Oktober dan dipetik oleh kebanyakan media.

Dalam pada itu, sekurang-kurangnya dua pemimpin kanan PAS telah menemui Nik Aziz di Kota Bharu semalam untuk mendengar sendiri pandangan beliau mengenai perkara ini selepas tulisan beliau keluar dalam blognya.

Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa dan Naib Presiden, Salahudin Ayub telah bertemu beliau semalam.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails