Wednesday, October 7, 2009

Kenapa Najib pilih Isa Samad?



Di Perancis (negara yang menjual dua buah kapal selamnya sehingga menyebabkan Altantuya of Mongolia tewas di tangan bom C4) baru-baru ini, Haji Mohd Najib Razak telah bersabda lunak berhubung pemilihan Isa Samad sebagai calon BN di Bagan Pinang.

Najib tetap pertahankan Isa Samad walaupun Mahathir tidak menyukai calon tersebut. Mahathir menolak Isa Samad kerana kununnya, dia tidak mahu bekas perasuah menjawat jawatan sebagai pemimpin. Ya! Kata orang Melayu pada zaman Glokal Hadhari, hanya mutu yang mengenal manikam. Ya! Hanya mahaguru politik wang yang mengenal anak didiknya, iaitu calon sekarang ini yang pernah mengamalkan politik wang.

Mungkin, Najib bukan pengamal politik wang kerana pencalonannya sebagai Presiden Umno tidak dicabar dalam Muktamar Umno. Politik wang (tepatnya rasuah) berlaku apabila jawatan-jawatan mula dipertandingkan. Kerusi Presiden Umno tidak dipertandingkan dan untuk apa Najib mahu tumbuk rusuk para perwakilan? Keadaan mungkin berubah jika sistem yang ada dalam Umno membolehkan Najib dicabar.

Tak apa. Biarkan kisah itu berlalu. Politik adalah politik. Menurut laporan akhbar milik kerajaan, Najib berkata demikian di depan para pelajar Malaysia dalam suatu dialog ketika beliau berada dalam rangka lawatan rasmi di sana selama empat hari.

Asuhan politik jahat ke atas pelajar - inilah yang sepatutnya dirisaukan!

Maka, sejumlah 27 juta rakyat Malaysia secara ijmak, termasuklah warga Bangla, Indon, Bawean sama ada yang masuk ke dalam negara ini dengan permit, masuk tanpa permit atau pendatang asing yang permitnya diuruskan, diluluskan oleh sekumpulan dato' yang mudah membeli gelaran itu, perlu risau dengan gelagat Najib ini.

Sekali lagi, kita sepatutnya risau dengan sabdaan Mohd Najib Razak yang mula mengajar falsafah politik jahat kepada pelajar-pelajar Malaysia di Perancis. Para siswa itu, sama ada yang sedang belajar di Padang, Jepun, Amerika, Great Britain, China mahu pun di Mongolia tidak seharusnya diasuh, diasah fikrah yang masih jernih fitrahnya dengan segala falsafah politik yang keruh.

Sukar ditelah dan ditelaah, apakah kehadiran Najib itu sebagai Presiden Umno atau Perdana Menteri? Oleh sebab akhbar melaporkan kedudukan Najib sebagai PM, maka ada baiknya kita berhusnuz zhon dengan Najib buat sementara waktu. Husnoz zhon ertinya bersangka baik.

Wajib dan sunat ke atas kita untuk kerap bersangka baik dengan Najib tak kiralah walau dalam keadaan apa pun. Yang tidak bersangka baik dengan Najib, kita sunatkan mereka sekali lagi.

Kita wajib bersangka baik dengan PM (merangkap Presiden Umno) walaupun beliau bercakap mengenai isu parti Umno di depan para siswa Malaysia yang tiada sekatan Auku di Perancis.

Kalau wakil parti berhaluan kiri yang dijemput berceramah kepada siswa-siswa kita di UK di Perancis atau di Mesir, nescaya mereka akan dipanggil oleh kedutaan untuk dibicarakan. Walaupun tiada Auku di sana, namun pelajar kita boleh dikenakan tindakan juga jika menjemput pembangkang. Tahniah!

Secara jujur, tak patut juga dihempapkan segala kesalahan ini ke atas pundak Haji Mohd Najib seratus peratus. Ini kerana, menurut laporan akhbar, Najib menjawab sebab beliau ditanya oleh salah seorang pelajar berhubung tindakan Umno meletakkan Isa Samad sebagai calon BN?

Jadi, Najib sebagai Pengerusi BN mesti menjawab. Soalan yang sepatutnya ditanya juga oleh wakil siswa itu ialah, adakah parti komponen BN secara jumhur dan ijmak telah merestui Isa Samad sebagai calon BN di sana?

Namun, mungkin kerana kesuntukan masa, maka hal serius semacam ini sukar mendapat tempat di hati Najib. Sekarang, mari kita kaji rupa paras, watak fikiran keruh di dalam jiwa anak kelahiran Pahang itu.

Falsafah politik Najib

Mari kita tangkap maksud pengertian Najib, sebutir demi sebutir, sepatah demi sepatah katanya kita kupas dan kita ulas tanpa culas! Kita perlu melakukan bedah siasat ke atas pemikiran Najib Razak seperti mana bedah siasat ke atas kematian Teoh Beng Hock juga.

Syahadan, Haji Mohd Najib berkata, Isa Samad wajar mendapat peluang kedua kerana beliau sudah menebus kesalahannya menerima hukuman yang cukup berat. Kata-kata ini kita kutip daripada laporan Berita Harian tanggal 6 Oktober, dengan andaian bahawa wartawan itu sifar khilaf dalam urusan melengkapkan laporannya.

Kita mahu bertanya - sejak bila Isa Samad menebus kesalahannya? Sejak bila Isa merebus jenayahnya sehingga keringlah segala dosanya? Sejak kapan Isa mengapan dosanya ke liang lahad? Pada tarikh bilakah Isa mula bertaubat, menebus dosanya seperti yang disebut oleh Najib itu?

Najib perlu berhati-hati menjawab soalan ini di depan pelajar kerana buruk akibatnya jika siswa-siswa yang masih jernih fikiran itu. Isa bersalah kepada siapa sebenarnya? Isa Samad bersalah kepada 27 juta rakyat Malaysia. Darah yang mengalir di dalam tubuh Isa Samad adalah darah yang mengalir lancar dalam tubuh kita.

Kita semua anak cucu cicit keturunan Nabi Adam a.s. Disebutkan dalam al-Quran, jika kita membunuh seorang manusia, maka seolah-olah kita membunuh manusia seluruhnya. Jika kita menyelamatkan nyawa seorang manusia, maka seolah-olah kita menyelamatkan nyawa manusia seluruhnya.

Nas ini juga disebutkan dalam Talmud atau Taurat, kitab pegangan Yahudi. Dalam filem Schindler List, sebuah dialog turut menyebutkan nas dalam Taurat, Talmud ini bagi mengenang jasa seorang kapitalis Yahudi Jerman; Schindler yang menyelamatkan nyawa bangsa Yahudi yang dibunuh tentera Nazi pada zaman pemerintahan Hitler.

Maka, hubungan darah kita dengan Isa Samad tetap ada. Kita mengundi dia, dia bertanggungjawab ke atas kita. Dia bersalah, maka kita wajib hukum dia. Tetapi, adakah rakyat bersetuju Isa Samad dicalonkan semula? Sama sekali tidak. Isa Samad hanya dipilih segelintir orang dalam Umno untuk bertanding.

Suara Umno tidak mewakili keseluruhan bangsa Malaysia, malah berapa kerat sangat orang Melayu yang memihak kepada Umno? Umno itu Melayu, tapi Melayu itu tidak semestinya Umno. Sejarah penentangan Melayu ke atas Portugis tidak memerlukan Umno. Sejarah penentangan Belanda tidak memerlukan Umno.

Ketika Tun Perak bertindak mengusir Siam di Melaka, tidak memerlukan Umno. Ketika mengusir Jepun, Umno tidak wujud. Ketiga Megat Terawis dan lain-lain hulubalang menghunus keris untuk membunuh penjajah, Umno belum dilahirkan lagi.

Umno 'diternak' oleh penjajah British ketika penjajah itu mahu mengharamkan PKMM, sebuah parti Melayu radikal, berhaluan kiri yang berjuang mengusir penjajah melalui parti. PKMM adalah parti Melayu pertama yang berjuang mengusir penjajah dan penjajahan.

British menaja Umno dan ia mula berteriak memekik Merdeka! apabila ahli-ahli PKMM mula memasuki Umno dan sebahagian yang lain terpaksa masuk ke hutan menjadi komunis, setelah PKMM diharamkan penjajah British dengan persetujuan, keizinan dan restu Umno. Kawan jenis apa Umno ini?

Tapi, semua fakta sejarah ini tak akan didedahkan Najib kepada siswa-siswa kita yang berada di Perancis. Untuk apa? Sejarah diratibkan oleh mereka yang menang.

Isa memang nama baik dan bersih

Yang perlu Najib pertahankan dengan segenap kekuatannya ialah Isa Samad, walaupun ada ahli Umno yang tidak sebulu dengan Isa, walaupun masih ada cacat dan saki-baki kesalahannya lagi. Atau, mungkin Isa Samad berpeluang melakukan jenayah rasuah yang sama berulangkali selepas menang kelak. Apa jaminan bahawa Isa Samad tidak akan mengulangi jenayah rasuahnya buat kali kedua?

Isa Samad tahu bahawa jika dia melakukan rasuah sekali lagi, dia mungkin akan melakukannya dalam bentuk lain dan mahu kelihatan bersih. Dia juga sedar bahawa jika dia dihukum lagi, kelak dia boleh bertanding semula merebut jawatan dan akan terus menyimpan stok harta sehingga kaum kerabat pun tak habis makan harta itu.

Nama Isa Samad datang daripada nama Nabi Isa a.s. Isa al-Masih adalah sosok, watak yang dibangunkan Tuhan guna menjernihkan semula ajaran Tauhid Nabi Musa a.s yang telah dikeruhkan oleh rabai-rabai Yahudi di Nazareth, Palestin.

Najib perlu sedar bahawa Nabi Isa a.s adalah watak suci. Kesucian Nabi Isa a.s. ini diwarisi daripada kesucian Maryam binti Imran, ibu kepada Nabi Isa al-Masih. Ketika Maryam masih belum lahir, ibu kepada Maryam pernah berdoa kepada Tuhan agar anak dalam kandungannya (Maryam dan keturunannya, Isa a.s jangan sampai diganggu oleh syaitan). Dan, doa ini memang wujud di dalam al-Quran.

Penerangan dan penjelasan Najib seharusnya teliti. Jangan sampai jawapan beliau menetaskan api curiga dalam sekam kemarahan rakyat. Tambah Najib lagi, Isa Samad pernah kehilangan jawatan menteri dan Naib Presiden Umno kerana melanggar disiplin parti. Namun, sikap Isa yang tidak pernah menentang parti, malah terus setia dan bekerja kuat untuk parti telah menyebabkan beliau diterima semula oleh parti untuk bertanding.

Soalan cepu emas kepada Haji Mohd Najib - adakah jawapan ini akan diterima oleh mahasiswa yang telah bertanyakan soalan tadi? Apa jaminan bahawa Isa Samad tidak akan melakukan jenayah yang sama jika dia terpilih menjadi calon?

Orang tidak memilih calon itu bukan sahaja kerana dia tidak bersih, maka mereka bimbang kalau-kalau kejahatan yang sama akan diulang-ulang.

"Ikut bacaan kita (BN), Isa adalah calon paling popular untuk bertanding di Bagan Pinang. Dalam sistem kita, penjenayah pun ada peluang kedua. Lagi pun, ini (kesalahan yang dilakukan Isa) bukan kesalahan dari segi undang-undang negara, tetapi dari segi etika parti. Jadi, saya rasa beliau wajar menjadi calon.

"Lagipun ini (pencalonan di Bagan Pinang) bukan jawatan menteri atau ketua menteri tetapi sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun). Jadi Isa layak jadi calon. Insya Allah beliau mempunyai peluang yang baik (untuk memenangi pilihan raya kecil Bagan Pinang)," katanya.

Sebenarnya, terlalu banyak yang boleh kita ulas berhubung kenyataan Najib di atas. Kita juga boleh kembali persoalkan, setakat mana sangat undang-undang negara itu berbeza dengan undang-undang parti. Bukankah Umno didaftarkan di negara ini?

Jadi, tentulah ahli parti tertakluk kepada undang-undang negara. Lagipun, bukankah pada akhirnya, orang-orang parti juga yang akan memimpin negara? Jadi, wajarlah mereka dihukum dengan perundangan negara dan bukan dengan perundangan parti.

Cara Najib menjawab di hadapan pelajar di Perancis, tentunya banyak mengundang ruang dan peluang untuk beliau disoal kembali oleh para pelajar kita di Perancis kalau mereka tidak ditekan oleh pihak-pihan tertentu.

Lagi soalan cepu emas kepada Najib

Hubungan antara perasuah dan penerima rasuah bagaikan penawaran dan permintaan. Kedua-duanya saling berkait. Ya, memang benar Isa Samad telah dihukum, tetapi hubungan beliau dengan penerima rasuah masih ada di dalam Umno. Kalau masih ada permintaan dalam kalangan ahli-ahli untuk dirasuahkan, maka mustahilkan untuk diadakan penawaran sekali lagi oleh si dia yang telah terbiasa dengan amalan rasuah?

Dan, inilah masalah Umno. Mereka menghukum perasuah tetapi tidak menghukum penerima rasuah, padahal kedua-duanya adalah penjenayah. Tindakan menghukum perasuah sahaja, menyebabkan masih ada lagi penerima rasuah yang tidak serik-serik lagi menggoda perasuah yang bertaubat untuk kembali merasuah semula.

Hubungan yang terjalin kemas ini bagaikan hubungan antara penagih dadah dan pengedar dadah. Dalam kebanyakan kes, penagih dadah yang berjaya diberkas ketika mereka tengah lalok, khayal. Tetapi, yang cergas seperti pengedar dadah, akan terlepas bebas, kerana mereka cergas berlari pantas.

Sekembalinya penagih dadah yang pulih ke kampungnya tidak membawa apa-apa erti kerana masih ada pengedar dadah yang akan menggoda penagih ini untuk kembali penagih. Dalam hal yang sama, pendek kata, penerima rasuah masih berkeliaran dan masih betah menggoda perasuah untuk kembali merasuah mereka semula.

Inilah masalah Umno. Penjenayah itu cuma perasuah dan penerima rasuah bukanlah penjenayah. Buktinya, hanya Isa Samad, perasuah yang terhukum. Dan mereka yang menerima rasuah itu telah menghilangkan diri. Mereka tidak dicekup, tidak dikenali rupa paras wajah mereka bagaikan wajah Cif Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar yang ditutup wajahnya kerana disabitkan kesalahan meletupkan tubuh Altantuya dengan bom peledak C4!

Seorang pelajar bertanya separuh berbisik, "Dengar khabar dulu, Isa Samad semasa jadi Menteri Besar, pernah tutup kes khalwat seorang pemimpin VIP Umno dengan seorang artis di Port Dickson sekitar 1990-an. Adakah ini dikira sebagai 'rasuah' juga? Atau, hubungan saling membantu untuk membalas jasa, membalas budi Isa?"

"La.. apasai hang tak pi tanya soalan tu kat Najib?" seorang pelajar lain pula mendesak ketika Najib sedang asyik berucap di majlis berkenaan.

"Gila kau jang, den tak mahu nak cari mampus," ketawanya berderai di belakang sementara dua tiga orang pegawai asyik memerhatikan kelibat mereka.



By H. Fansuri- baganutama

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails