Friday, October 9, 2009

Dimana Raja Petra?

KUALA LUMPUR, 9 Okt - Raja Petra Raja Kamaruddin, masih gagal dikesan walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh pihak polis menyebabkan waran tangkap gagal diserahkan kepadanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hafiz Mohd Yusoff memberitahu perkara itu di Mahkamah Sesyen di sini berikutan ketidakhadiran Raja Petra pada Jumaat bagi perbicaraan kes memfitnah Datin Seri Rosmah Mansor dan dua yang lain.

Mohd Hafiz berkata notis tunjuk sebab kepada penjamin iaitu isteri Raja Petra, Mable@Marina Lee juga tidak dapat dilakukan.

Bagaimanapun Pegawai Penyiasat ACP Aziz Zakaria, yang memberi keterangan bersumpah di kandang saksi, memberitahu mahkamah bahawa pihak polis telahpun menggandakan usaha mencari Raja Petra termasuk menyediakan pegawai khas untuk memantau rumahnya di Sungai Buloh tetapi masih gagal mengesannya.

"Kita (pihak Polis) ada menerima maklumat pergerakan Raja Petra dan cuba mengesannya di beberapa tempat yang sering beliau berada tetapi sampai sekarang kita tidak tahu di mana kedudukan Raja Petra," katanya ketika ditanya Mohd Hafiz.

Menurutnya usaha mengesan Raja Petra masih diteruskan kerana beliau juga mempunyai kes di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang turut mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Ditanya peguam Amarjit Singh, yang mewakili Raja Petra, berapa kali pihak polis cuba ke rumah anak guamnya, Aziz berkata: "Ada anggota yang sentiasa memantau rumah dia, tunggu dia balik."

Aziz berkata beliau tidak pasti sama ada Raja Petra masih berada di dalam negara atau tidak.

Bagaimanapun di awal prosiding, Mohd Hafiz memberitahu bahawa berdasarkan rekod imigresen tiada sebarang maklumat yang menyatakan Raja Petra telah keluar dari Malaysia.

Berdasarkan rekod lepas, waran tangkap terhadap Raja Petra dikeluarkan pada 26 Mei lalu dan kesnya telah disebut sebanyak dua kali termasuk hari ini di hadapan Hakim Mohamad Sakeri Mamat.

Raja Petra, 59, dituduh memfitnah Rosmah, semasa suaminya Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan Timbalan Perdana Menteri serta pegawai pengiring Rosmah ketika itu, Lt Kol Norhayati Hassan dan suaminya, Lt Kol Abdul Aziz Buyong, dalam satu akuan bersumpah yang dibuat di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada 10.25 pagi, 18 Jun tahun lepas.

Raja Petra, yang turut diwakili peguam Amarjeet Singh, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda jika disabit kesalahan.

Setelah mendengar penjelasan Aziz mengenai usaha mengesan Raja Petra, Mohd Sakeri menetapkan 13 Nov untuk sebutan kali terakhir.

Terdahulu, Amarjit memohon anak guamnya dilepaskan tanpa dibebaskan berikutan kegagalan menyerahkan waran tangkap dan notis tunjuk sebab itu.



BERNAMA

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails