Saturday, October 24, 2009

Belanjawan untuk hadapi PRU ke-13 ke?

Belanjawan tahun 2010 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Najib Abdul Razak memperlihatkan bagaimana kerajaan Barisan Nasional mula mengatur langkah untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Selain pengagihan peruntukan yang cuba mengambil hati setiap kaum, Belanjawan 2010 yang bertemakan "1Malaysia, Kemakmuran Bersama" ini juga menyahut beberapa tuntutan politik, misalnya mengambil langkah memerangi rasuah dengan penggubalan Whistle Blower Act dan penubuhan mahkamah khas kes rasuah.

Jelas, belanjawan sulung Najib selaku PM ini bakal ditampilkan sebagai belanjawan yang pragmatik oleh media arus perdana, lebih-lebih lagi apabila pembangkang mahupun pemimpin Pakatan Rakyat memerlukan lebih masa untuk mengkajinya. Najib bakal diraih dengan tepukan sekali lagi, selepas Perhimpunan Agung UMNO ke-60 yang melabuh tirai pada minggu lalu.

Menyentuh keperluan kaum

Dalam persepektif masyarakat Cina yang berpendidikan Cina, pembinaan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan sama ada Cina mahupun Tamil, telah dijadikan kayu ukur sama ada kerajaan BN berlaku adil atau tidak kepada komuniti etnik lain. Malah, peruntukan untuk pembinaan SRJK (c) baru (bukan sekadar pemindahan) menjadi kayu ukur sama ada MCA berperanan/berpengaruh atau tidak dalam kabinet.

Menambah-bina SRJK(c) hanyalah janji yang ditaburkan ketika pilihan raya selama ini. Selepas tamatnya penggal kerajaan, janji kekal sebagai janji, kemudian diulang sebagai janji baru (manifesto) untuk mengaut undi. Adegan ini terbongkar juga pada akhirnya, menjadi antara faktor yang menjurus kepada tsunami politik pada 8 Mac 2008.

Kali ini, Najib mengambil langkah bijak apabila mengumumkan sejumlah RM 1.6 bilion disediakan bagi pembinaan 80 buah sekolah baru serta 1,100 buah blok tambahan dan 347 projek gantian sekolah. Malah dinyatakan bahawa peruntukan ini adalah untuk Sekolah Kebangsaan Rendah dan Menengah, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil serta Sekolah Mubaligh (mission school), walaupun tanpa dinyatakan nisbahnya.

Najib tidak lupa untuk memberi reaksi kepada tuntutan Parti Hak Asasi Manusia (PAHAM) yang diketuai pemimpin Hindraf P. Uthayakumar, apabila RM 20 juta disediakan khas untuk usahawan kecil India (tambahan kepada RM15 juta yang sedia ada). Pada 13 Oktober, P.Uthayakumar mencadangkan kepada kerajaan Najib agar menambah peruntukan pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana kaum India.

PRU ke-12 yang menyaksikan bagaimana Pakatan Rakyat menyapu 10 daripada 11 kerusi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut disentuh keperluannya. "Tsunami politik" yang melanda ibu kota ini lebih dijuruskan beban ekonomi yang menekan, masalah yang melangkaui semua kaum, daripada hanya sentimen masyarakat bukan Melayu.

Justeru itu, peruntukan RM48 juta disalurkan, bahkan kementerian yang bakal bergelar Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar ini dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program membasmi kemiskinan bandar, malah mensasarkan golongan yang berpendapatan kurang daripada RM3000 sebulan.

Namun, Najib tidak lupa untuk menabur peruntukan di kawasan luar bandar, lebih-lebih lagi apabila kawasan ini merupakan kubu BN untuk mengekalkan kuasa kerajaan di genggaman. RM2.3 bilion diperuntukkan untuk menaik taraf infrastruktur kawasan luar bandar, malah RM857 juta daripadanya telah disalurkan kepada Sarawak dan Sabah.


Sambung baca disini..

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails