Tuesday, October 6, 2009

Bekas sarjan akui palsukan undi pos



Seorang bekas sarjan hari ini (5 Oct 09) mengakui pernah terlibat memangkah BN bagi pihak anggota-anggota tentera dalam dua pilihan raya umum – pemalsuan undi yang selama ini hanya digembar-gemburkan oleh ahli-ahli politik pembangkang.

Abu Kassim, yang bertugas sebagai "sarjan gaji", berkata beliau dan beberapa kakitangan tentera dalam bahagian pentadbiran, seperti ketua kerani, mendapat arahan bagi memanipulasikan undi pos daripada pegawai pentadbir kem.

Beliau, kira-kira 10 tahun menyertai PAS, bagaimanapun tidak ingat tarikh tepat dan tempat peristiwa itu dengan alasan ia "sudah lama" berlaku tetapi ia didakwa terjadi semasa bawah pentadbiran perdana menteri waktu itu Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya tidak ingat. Lama sudah. Tetapi dalam pilihan raya besar (umum), zaman Dr Mahathir dulu," katanya kepada Malaysiakini.

Anak kelahiran Kuala Pilah itu menganggotai tentera darat selama 23 tahun sehingga 1989. Beliau paling lama berkhidmat di Markas Stesen Staf Port Dickson.


Pengakuan depan pengerusi SPR

Abu kini seorang ahli jawatankuasa undi pos Pemuda PAS yang diketuai oleh ketua penerangan dewan itu Suhaizan Kaiat.

“Setiap pilihan raya, saya diminta memantau pengundian pos. Mungkin sebab saya bekas askar, mereka pilih saya,” katanya yang kini menetap di Bandar Tenggara, Port Dickson.

Jumaat lalu, Pemuda PAS mendedahkan pengakuan Abu, yang didakwanya bersedia tampil membongkar perkara itu, menjelang pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang pada 11 Oktober ini.

Suhaizan sebelumnya berkata pengakuan Abu itu juga dibuat di depan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam satu pertemuan rombongan PAS, yang diketuai naib presidennya Salahuddin Ayub, pada 28 Ogos lalu.

Menulis di blognya Bila Kentong Berbunyi, pemimpin Pemuda itu berkata, Abu terpaksa berbuat demikian atas arahan pegawainya, yang berdiri di belakang dan memerhati kertas undi dipangkah.

Dihubungi pagi ini, Abu berkata walaupun pernah mengundi untuk orang lain, beliau langsung tidak pernah mengundi untuk dirinya sendiri.

"Sepanjang berpuluh-puluh tahun menjadi askar, saya tidak pernah memangkah bagi pihak diri sendiri, tetapi tolong memangkah bagi pihak orang lain," katanya, dengan mendakwa seramai empat sehingga lima kakitangan pentadbiran kem turut terlibat dalam proses itu.


Diugut dibuang ke laut

Tambahnya, pemalsuan undi pos itu melibatkan sekurang-kurangnya 400 anggota tentera.

Beliau bagaimanapun tidak pasti sama ada pemalsuan undi pos masih berlaku di kem-kem tentera walaupun masih mencurigai amalan itu.

Abu juga berkata, akibat mendedahkan perkara itu secara terbuka kepada umum, beliau pernah "diugut hendak dibuang ke laut" melalui mesej SMS daripada pihak yang tidak dikenalinya.

"Banyak SMS macam itu saya terima," katanya.

Ditanya apa yang membuatkannya berani tampil kali ini, Abu berseloroh berkata: "Takkan sekarang mereka (kerajaan) hendak potong pencen saya."

Dalam setiap pilihan raya, perjalanan pengundian pos sentiasa mendapat bantahan pembangkang kerana dicurigai wujudnya penyelewengan yang akan memenangkan calon BN.

Dalam pilihan raya kecil di kerusi ini, jumlah pemilih pos sangat besar - 4,620 daripada 13,664 orang yang layak membuang undi.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails