Wednesday, October 14, 2009

Antara Mahsuri dan Altantuya ...

Dalam kisah Mahsuri, ada hal yang nyata, tidak bersifat khayalan. Hal yang nyata dan tak boleh ditolak itu adalah sifat dengki, iri hati, rasa cemburu, dendam serta sakit hati yang akhirnya membawa kepada kematian Mahsuri.



Kematian Mahsuri lambang kezaliman pemerintah
Watak-watak Mahura, Deraman dan lain-lain watak yang berkonspirasi untuk membunuh Mahsuri masih wujud sehingga ke hari ini, tetapi ia dilakonkan watak yang lain pula.

Mereka berkomplot dan oleh kerana komplot ini berlaku dalam kalangan pembesar, maka Mahsuri tidak mendapat sebarang pembelaan.

Keadaan mungkin berbeza jika kes Mahsuri melibatkan pertikaian orang-orang bawahan, dan pihak penguasa tidak terlibat dalam pertikaian tersebut.

Oleh kerana kes purba ini berprofil tinggi, maka kepada siapa lagi keluarga Mahsuri ingin mengadu segala permasalahan ketika penguasa yang diharap dapat memberikan keadilan, telah berbuat kezaliman, tidak menghukum manusia secara adil dan tidak membicarakan dakwaan ke atas Mahsuri dengan telus.

Kita pun tertanya-tanya, apakah wujud golongan ulamak, pendeta dan manusia bijaksana yang menegur perbuatan kejam dan zalim itu?

Mahsuri dibunuh ketika suaminya berperang demi mempertahan negeri Kedah daripada serangan Thai. Ini bermaksud, memang ada perancangan yang tersusun dan mereka yang berniat jahat itu memang menunggu waktu yang sesuai untuk membunuh Mahsuri.

Jika suami Mahsuri masih ada di sisi, maka tuduhan tohmahan terhadap Mahsuri tentulah terbatal. Ini kerana, tuduhan itu ialah Mahsuri berlaku serong dengan lelaki lain, wanita itu menduakan suaminya ketika suaminya pergi berperang.




Bentuk hukuman ke atas Mahsuri secara tergesa-gesa ini menunjukkan bahawa penguasa pulau lagenda itu telah mengambil keputusan untuk segera membunuh Mahsuri sebelum suami Mahsuri, Wan Derus kembali ke Langkawi.

Kalau benar Mahsuri berlaku curang dengan lelaki lain, maka hukumannya bukan bunuh, tetapi ia mestilah disesuaikan dengan hukum syarak seperti direjam dengan batu.


Antara Altantuya dan Mahsuri, siapa lebih dizalimi?



Tidak boleh diukur kekejaman itu dengan keris yang menikam Mahsuri. Tidak boleh juga kita menyukat kezaliman dengan membandingkan bisanya keris dengan kuatnya ledakan bunyi dentuman bom C4 yang digunakan untuk meletupkan tubuh Altantuya.

Akal logik tidak boleh membuat hukuman bahawa oleh sebab dentuman C4 itu lebih kuat hingga menghancurkan tubuh Altantuya, maka kes Altantuya dibunuh itu lebih zalim dan kejam berbanding pembunuhan Mahsuri, kerana tubuh Mansuri tidak hancur.

Tidak betul cara berfikir begitu. Kita mesti ukur kezaliman serta menyukat kekejaman itu bersandarkan cara kes itu dikendalikan dan bukanlah disebabkan faktor keris dan bom C4 tersebut. Akal kita mesti lebih hadhari ketika membuat kesimpulan dalam kes ini.



Altantuya tidak dihakimi, tidak dibicarakan. Maka adalah satu jenayah untuk membunuh beliau. Sebaliknya, kes Mahsuri itu telah dibicarakan dengan berat sebelah. Dia difitnah, dia diburuk-burukkan, diaibkan oleh sekian banyak tuduhan yang tidak berasas.

Barangkali, Altantuya lebih dizalimi kerana sosok yang jelita lagi menawan putera Bugis ini dilayani sebagai haiwan, boleh dibunuh sesuka hati tanpa perkiraan dosa, pahala.

Mungkin ada orang yang mahu menyanggah pendapat ini. Hal itu, bolehlah kita debatkan kemudian jikalau ada pihak yang beranggapan bahawa Mahsuri dibunuh lebih kejam lagi berbanding kes Altantuya. Wallahu alam.

Bagaimanapun, pendapat bahawa Mahsuri dibunuh lebih zalim berbanding Altantuya itu bukanlah bermaksud bahawa Najib Razak lebih baik berbanding Mahura dan pihak-pihak yang membunuh Mahsuri. Ini kerana, zalim tetaplah zalim.

Bukan ada neraca yang menetapkan bahawa berat kezaliman ke atas Altantuya itu seberat 1 kg, sementara kezaliman ke atas Mahsuri cuma seberat segantang cuma. Kejam tetaplah kejam. Keadaan mungkin berubah jika watak Mahura disamakan dengan Rosmah.

Sentimen-sentimen seperti menyamakan Mahura dan Rosmah mungkin mengundang satu pendapat lain pula yang melihat kes pembunuhan Altantuya itu lebih kurang setara kejam dan zalimnya dengan kes pembunuhan Mahsuri. Wallahu alam.

Mahsuri wanita suci?
Di sana masih kedengaran pendapat yang menyatakan bahawa ada kemungkinan Mahsuri adalah wanita yang tidak menjaga kehormatannya. Pandangan demikian berangkat daripada persoalan, bagaimanakah Mahsuri boleh tinggal serumah dengan lelaki asing ketika ketiadaan suaminya?

Kalau pun Mahsuri itu tidak melakukan perbuatan terkutuk, bagaimana pula dengan sikap isteri orang yang dilihat berdua-duaan dengan lelaki asing sambil bermain bunyi-bunyian di luar rumahnya sehingga menjolok mata masyarakat setempat?

Jawapan ke atas soalan seperti ini tetap ada. Seperti biasa, kita akan melakukan kesilapan. Tetapi, adakah hukuman ke atas kita itu setimpal?

Kenapa kita harus meneropong ke atas kesilapan Mahsuri saja tetapi seperti terlupa untuk membahaskan kekejaman penguasa dan hasutan Mahura?

Sebesar-besar dosa Mahsuri sekali pun dan kalau darahnya tidak putih bagi menunjukkan bahawa dia wanita suci tetapi kita tak boleh menolak kebenaran bahawa dia telah melafaz sumpah bahawa Langkawi akan dilanda musibah 7 keturunan.

Maka, lafaz sumpah itu adalah doa daripada seorang wanita yang telah dizalimi. Mungkin juga dia berdosa, tapi peruntukan Allah ke atas Mahsuri tetap ada. Iaitu peruntukan untuk berdoa agar dilimpahkan kecelakaan ke atas pihak-pihak yang telah menzaliminya.

Mungkin, azab yang menimpa Langkawi itu, bukan disebabkan oleh kedudukan Mahsuri sebagai wanita keramat seperti yang difahami orang. Lagi pun, bukankah doa orang yang dizalimi itu akan dimakbulkan Tuhan tanpa sebarang hijab?

Mahsuri itu mungkin berdosa, tapi peruntukan Allah untuk membela orang yang dizalimi itu tidak diperhitungkan melalui dosa Mahsuri sebelum ini. Sabda rasul, takuti doa orang yang dizalimi, kerana doa antara mereka dengan Tuhan tiada hijab.

Tidak disebut kedudukan orang dizalimi di sini sama ada mereka sendiri pernah berdosa atau tidak. Bermaksud, jika seseorang itu berdosa kepada Tuhan, tetapi dalam masa yang sama, mereka dizalimi pemerintah, maka dosa mereka itu bukan hijab untuk Tuhan kabul doa mereka yang meminta dilimpahkan keburukan ke atas pemerintah yang zalim itu.

Penduduk Kg Berembang mungkin juga berdosa. Tapi, ketika mereka dizalimi Khir Toyo yang menumbangkan surau, rumah mereka, Allah kabulkan doa, sumpah seranah mereka dengan menjatuhkan Khir Toyo dalam pilihan raya umum ke-12. Alhamdulillah!

Tuhan tak membuat perkiraan seperti ini oleh kerana mereka yang dizalimi itu pun ada dosa, maka Dia pun tidak akan mengabulkan doa mereka ke atas pihak yang menzalimi mereka itu. Tuhan tidak berat sebelah. Penzalim lebih awla mendapat hukumanNya.

Apabila mempertimbang semua ini dengan teliti dan sehalus-halusnya. Hanya ada suatu hal sahaja yang menendang-nendang akal fikir kita. Pertanyaan demi pertanyaan, soalan demi soalan sedang berlari-lari, menari-nari dan melantun-lantun dalam kepala.

Jika Mahsuri bersumpah yang buruk-buruk ke atas Langkawi sebelum kematiannya, kita ingin bertanya soalan saja, apakah Altantuya pernah bersumpah bahawa Malaysia akan menjadi padang jarak padang tekukur sebelum tubuhnya diletupkan C4?





H Fansuri

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails