Wednesday, September 30, 2009

Umno: Dulu, kini dan selamanya – korup!

Keperluan kuasa politik diutamakan. Malah didahulukan dari segala yang lain. Persetan soal maruah dan kewibawaaan parti atau individu.

Ini yang didokong oleh Umno sekian lama. Dan, parti itu sekali lagi menzahirkan hakikat berkenaan dengan menamakan Tan Sri Isa Samad sebagai calonnya untuk pilihanraya kecil Bagan Pinang.

Keputusan itu memang sudah pun diduga. Sungguhpun tokoh-tokoh veteran, tidak kurang daripada mantan Perdana Menteri sendiri, Mahathir Mohamad mengingatkan Umno jangan memilih Isa kerana beliau terpalit dengan rasuah politik, iaitu membeli undi perwakilan Umno dengan sogokan wang dan jamuan-jamuan untuk menjadi Naib Presiden Umno pada tahun 2004, ia tidak sedikitpun dihiraukan.

Soalnya, mengapa mesti Umno hari ini ambil pusing soal apa kata Mahathir. Memang mudah untuk Mahathir melontarkan "nasihat" sedemikian kerana bukan beliau menduduki kerusi Presiden Umno yang membawa bersamanya jawatan Perdana Menteri Malaysia. Bukan Mahathir yang mengepalai sebuah parti yang telah kalah lapan pilihanraya kecil berturut-turut sejak pilihanraya umum tahun lalu. Satu lagi kekalahan akan mengesahkan Umno makin terkubur dalam politik negara.

Dan bukan Mahathir yang terpaksa was-was terhadap seorang Timbalan bernama Muhyiddin Yassin yang begitu ghairah mencanang dirinya sebagai penyelamat maruah bangsa Melayu.
Atas dalil-dalil itu, memang tidak mengejutkan Perdana Menteri Najib Razak memilih Isa Samad sebagai calon untuk mengekalkan kerusi Bagan Pinang yang secara tradisinya milik parti itu. Isa adalah sinonim dengan politik Negeri Sembilan. Beliau menjadi Menteri Besar selama 25 tahun, lebih lama dari Mahathir jadi Perdana Menteri. Teluk Kemang adalah kubu kuatnya. Beliau dikenali kebanyakan pengundi secara peribadi. Namanya ada daya penariknya sendiri di Teluk Kemang.

Berasaskan faktor-faktor ini, Isa difikirkan calon paling layak untuk mengembalikan maruah Umno dan memastikan tunjang Barisan Nasional tidak tewas lagi pada pilihanraya kecil, sekali gus memberikan ruang untuk Umno mendabik dada dan mengisytiharkan bahawa parti itu semakin pulih dan sokongan rayat semakin ketara.

Tidak apa jika Isa pernah didapati salah membeli undi, iaitu menyogok perwakilan Umno untuk bersubahat dengannya melakukan rasuah. Tidak apa jika Umno sebelum ini melaung-laungkan slogan ia harus berubah, kononnya Umno mesti berubah sebelum rakyat mengubahnya. Slogan-slogan bahawa pemimpin rasuah harus ditolak dan tidak lagi diberi tempat, masih nyaring di telinga kita.

Jawapan yang pasti disajikan pengundi Bagan Pinang ialah Isa sudah pun menjalani hukuman digantung tiga tahun dan hilang jawatan naib presidennya dan sehubungan itu harus diberi peluang untuk berbakti kepada rakyat. Sehubungan itu stigma ke atas Isa sebagai pengamal rasuah politik tidak harus menjadi halangan untuk menghidupkan semula karier politiknya.

Hakikatnya, hukuman terhadap Isa hanya bererti beliau melepaskan jawatan Naib Presidennya yang dimenangi dengan menyogok perwakilan. Beliau tetap menikmati segala emolumen, pencen, dan faedah lain semasa khidmatnya dengan kerajaan. Beliau juga tidak dirujuk kepada BPR atau SPRM kerana mengamalkan rasuah. Pendek kata Isa disuruh ”:menghilangkan diri dari kaca mata rakyat” selama tiga tahun sebelum dibenarkan tampil semula.

Adakah beliau kembali dengan politik baru untuk berbakti kepada rakyat secara tulus ikhlas, tanpa cuba merasuah sesiapa dalam mengejar jawatan. Dan jika sekali pun beliau memberi komitmen sedemikian, adakah kita harus menelannya begitu sahaja, semata-mata kerana Umno ketandusan calon yang sama popular dengan Isa.

Jika Najib benar-benar menghayati angin perubahan yang dicanangkan olehnya sebagai wajib untuk merekacipta semula Umno bagi menjadikan parti itu bebas dari politik wang, Isa Samad tentunya tidak akan menjadi pilihan di Bagan Pinang. Seorang calon, biarpun muka baru namun bersih, berwibawa dan berpendidikan tinggi lebih wajar ditawarkan kepada pengundi Bagan Pinang.

Namun berdepan dengan ugutan ahli Umno Bahagian Teluk Kemang yang diterajui Isa sendiri, Najib sekali lagi menunjukkan beliau tidak sanggup menanggung risiko politik, lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan kelangsungan karier politiknya sendiri.

Beliau mempunyai peluang terbuka untuk menghantar mesej jelas kepada rakyat bahawa Umno telah menutup pintu kepada pemimpin-pemimpin korup seperti Isa Samad, apabila berlaku kekosongan kerusi DUN Bagan Pinang.

Tetapi beliau memilih jalan selamat untuk mententeramkan penyokong Isa dengan memberi Isa tiket untuk memenangi Bagan Pinang dan menukar sifir politik Umno di Negeri Sembilan yang dipimpin oleh musuh ketat beliau, Mohamad Hassan.

Namun persoalan lebih besar ialah penerimaan rakyat keseluruhan terhadap keputusan Najib untuk terus "berdansa" dengan tokoh-tokoh Umno yang didapati terbabit dalam amalan rasuah oleh Jawatankuasa Displin parti itu sendiri.

Dengan memilih Isa, Najib dalam kedudukan lebih terjamin untuk memenangi pilihanraya kecil yang pertama di Semenanjung sejak pilihanraya umum tahun lalu.
Misi untuk mengubah amalan rasuah, politik wang, kronisme, membeli undi dan sebagainya dilupakan begitu sahaja dalam keghairahan untuk berpegang kepada kerusi Bagan Pinang. Jika begitu, maka tepatlah slogan Umno : Dahulu, Sekarang dan Selama-lamanya.


TVAntara

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails