Friday, September 18, 2009

Samy nak bodek Mahathir.. tapi kantoi.. Mahathir suruh dia Resign!!

Kah.. Kah.. Tindakan Samy untuk membodek Mahathir dengan mengantung serta merta keahlian seorang ahli MIC yang mencadangkan agar gambar Mahathir dikalungkan dengan selipar nampaknya tidak berjaya... malah dia disuruh resign oleh Mahathir.


PUTRAJAYA, 18 Sept - Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu akan menjadi liabiliti kepada Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang disebabkan kepimpinannya yang gagal, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata beliau bimbang sokongan rakyat terhadap BN akan merosot dan BN akan menjadi mangsa pula kerana Samy Vellu masih lagi memimpin MIC.

Dalam satu temubual dengan Bernama, Dr Mahathir berkata Samy perlu melepaskan jawatan presiden MIC kerana beliau perlu bertanggungjawab terhadap kegagalan parti itu dalam pilihan raya umum yang lepas malah beliau sendiri pun kalah.

"Kalau kita tengok di negara lain, apabila seseorang pemimpin gagal, dia dengan sendirinya letak jawatan. Kalau di Jepun, dia commit harakiri (bunuh diri). Kita tak suruhlah dia (Samy) commit harakiri.

"You (Samy) gagal pimpin MIC sampai you (Samy) sendiri kalah," katanya.

Mengambil contoh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan ekoran prestasinya tidak begitu baik, Dr Mahathir berkata: "Samy dia punya prestasi jauh lebih buruk daripda Pak Lah tapi dia tak mahu nak lepas pun jawatan dia.

"Sepatutnya sebelum sampai ke tahap itu, dia (Samy) patut letak jawatan," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau berhak menegur sesiapa pun demi kebaikan BN, dan menambah kata: "Pak Lah pun saya tegur, apa Samy Vellu saya tidak boleh tegur?"

Tindakan Dr Mahathir menegur Samy menjelang pemilihan MIC minggu lepas telah dilihat cubaan mencampuri urusan MIC dan ia telah menimbulkan kemarahan seorang anggota perwakilan yang mencadangkan agar gambar bekas Perdana Menteri itu dikalungkan dengan selipar.

Dr Mahathir berkata pemimpin perlu sedar bahawa mereka bukan dapat memegang jawatan secara seumur hidup.

"Ini ditujukan bukan kepada Samy Vellu seorang sahaja kerana ada yang lain pun macam begitu juga," katanya.


Dr Mahathir berkata beliau sendiri hendak meletak jawatan pada 1998 tetapi disebabkan krisis ekonomi dan isu Datuk Seri Anwar Ibrahim, terpaksa terus memimpin negara sehingga 2003.

"Saya letak jawatan bukan bila orang kecam saya. Saya letak jawatan sebab saya duduk lama sangat.

"Pemimpin Malaysia ini belum faham apabila dia gagal, dia patut dengan sendiri letak jawatan, tak payah orang suruh. Bila you gagal, you punya parti gagal. Dia bertanggungjawab," katanya.

Ditanya apakah yang BN boleh buat memandangkan BN mempunyai prinsip tidak campur tangan dalam urusan parti-parti komponennya, Dr Mahathir berkata apabila ia sudah menjadi masalah kepada BN dan jika BN masih tak campur tangan, BN sendiri yang akan menjadi mangsa.

Dr Mahathir berkata pemimpin BN perlu menegur Samy Vellu kerana sebagai pemimpin BN, mereka bukan bertanggungjawab terhadap prestasi parti sendiri sahaja tetapi prestasi BN keseluruhannya.

"Kalau saya tahu seseorang itu akan menyebabkan kekalahan BN, itu sudah menjadi masalah BN. Bukan masalah MIC lagi. Kita tak boleh kata dok tak interfere (campur tangan) saja. Ini urusan BN. Kerana dia, BN kalah.

"Dulu mana ada Hindraf. La ni (sekarang) dah ada berpuluh (kumpulan pendesak masyarakt India). Kerana dialah pasal orang tak mahu dia tapi dia nak jadi presiden lagi.

Dr Mahathir berkata pemimpin yang menggunakan duit, tekanan, salah guna kuasa dan mengugut orang boleh kekal menjadi presiden parti tetapi tidak akan menang dalam pilihan raya.

Mengenai pemimpin pilihan Samy Vellu yang memenangi pemilihan MIC minggu lepas, beliau berkata mereka boleh memenangi pemilihan parti tetapi akan kalah dalam pilihan raya kerana orang ramai tidak akan sokong.

Dr Mahathir juga berkata Samy Vellu kerana tidak memainkan peranan untuk melarang pembinaan kuil tanpa kebenaran walaupun pernah berjanji untuk berbuat demikian.

Samy, kata Dr Mahathir, menjadi popular dahulu kerana beliau (Dr Mahathir) menolongnya.

"Dia nak buat universiti, saya pujuk kerajaan bagi peruntukan RM50 juta dan banyak lagi dia punya projek, saya tolong," kata Dr Mahathir.

Mengimbas tugasnya sebagai Perdana Menteri dahulu, Dr Mahathir berkata beliau terpaksa memujuk orang Melayu supaya membenarkan BN meletakkan calon MIC di kawasan majoriti orang Melayu kerana tidak ada satu kawasan pun di negara ini yang mempunyai majoriti orang India.

"Lebih dari itu, saya juga berusaha supaya calon-calon MIC ini disokong oleh orang Melayu. Tanpa sokongan daripada ahli Umno dan orang Melayu lain, MIC tak boleh menang. Jadi ini khidmat saya kepada MIC.

"Tapi apabila MIC membuat sesuatu yang akan menyebabkan dia tak akan disokong oleh orang India, baik orang Cina, baik orang Melayu, saya perlu tegur," kata Dr Mahathir.

- BERNAMA

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails