Thursday, September 24, 2009

SELCAT : Dulu Hassan Ali menyokong, sekarang mengapa mempertikaikan?

PETALING JAYA: Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali berhadapan dengan 'kritikan' pemimpin-pemimpin kanan Pakatan Rakyat termasuk partinya sendiri ekoran kenyataan beliau mempertikaikan perjalanan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Dewan Undangan Negeri Selangor (Selcat) yang kini menyiasat dakwaan salah guna peruntukan kerajaan negeri.

Beberapa pemimpin kanan yang dihubungi menyifatkan, selaku anggota eksekutif yang turut terlibat dalam penubuhan Selcat tahun lalu, Hasan yang merupakan Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Pesuruhjaya PAS negeri, tidak sepatutnya mempertikaikan badan itu secara terbuka dengan membelakangkan kepentingan kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar "Isu yang dibangkitkan ini sepatutnya tidak berbangkit... Selcat ini berkaitan dengan legislatif, ada unsur pemisahan kuasa antara bidang eksekutif dan legislatif... sepatutnya tidak berbangkit,"

"Saya percaya jika mereka betul-betul faham, maka tidak akan timbul masalah seperti ini... saya tidak tahu sama ada beliau faham aspek ini ataupun tidak.

"Apa pun isu ini tidak seharusnya dibangkitkan secara publik. Dengan bertindak sedemikian, ini sudah macam menafikan hak yang pada legislatif itu sendiri," kata beliau lagi.

Khalid Samad yang juga Ahli Parlimen Shah Alam memberitahu, Hasan seharusnya memainkan peranan sebagai anggota dalam "satu pasukan kerajaan negeri Selangor."

"Beliau harus mencerminkan semangat berpasukan walaupun kita tidak gembira dengan keputusan-keputusan yang telah dibuat... bukannya membuat keputusan sendiri tanpa perbincangan, tidak sewajarnya membuat kenyataan seumpama itu di khalayak umum," kata beliau.

Bagaimanapun beliau mengakui bahawa Selcat sebagai jawatankuasa yang baru kemungkinan ada kekurangan-kekurangan tertentu yang boleh diperbaiki dalam jangka panjang.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga mempersoalkan kenyataan Hasan sambil berkata, adalah sesuatu yang luar biasa bagi Pesuruhjaya PAS Selangor itu mengesyorkan agar Selcat dirombak sedangkan beliau turut menyokong penubuhannya tahun lalu.

"Jika undang-undang ini (penubuhan Selcat) tidak betul, mengapa beliau menyokong untuk ia diluluskan? Beliau seharusnya sedar tentang ruang lingkup kuasa dan bentuk tugas beliau.

"Nampaknya beliau tidak memahami situasi itu," kata Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Lim juga berpendapat, Hasan seharusnya membawa pendirian mempertikaikan perjalanan Selcat menggunakan saluran dalaman, bukannya secara terbuka.

Selcat ditubuhkan oleh DUN Selangor selepas pilihan raya umum Mac 2008 untuk memantau selia dan memeriksa keupayaan, kebertanggungjawab dan ketelusan dalam segala urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Anggotanya terdiri daripada Haniza Mohd. Talha (PKR-Taman Medan), Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa), Shaari Sungib (PAS-Hulu Klang), Edward Lee Poh Lin (DAP-Bukit Gasing), Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) dan Ismail Sani (BN-Dusun Tua).


Sebahagian dari berita dari mStar Online

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails