Saturday, September 26, 2009

MIC Bergolak Lagi

Barisan Nasional berdepan dengan satu lagi kemelut dalaman setelah parti komponen MIC kembali bergolak walaupun pemilihan parti berkenaan selesai 12 September lalu.

Terbaru, tujuh calon yang bertanding termasuk seorang calon jawatan Naib Presiden mahu keputusan pemilihan MIC diisytihar sebagai tidak sah.

Kumpulan berkenaan menggariskan sekurang-kurangnya enam pelanggaran utama peraturan pemilihan termasuk campur tangan Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu.

Samy Vellu dikatakan mengatasi keputusan Jawatankuasa Pemilihan melarang para pewakilan daripada membawa telefon bimbit masing-masing ke kawasan pembuangan undi.

Lima pelanggaran peraturan lain yang dikemukakan termasuklah:

- Calon Pasukan Presiden berkempen selepas tempoh larangan berkempen 12 tengah hari 11 Septembar dikuatkuasakan. Barisan calon Pasukan Presiden didakwa mengadakan sidang media berunsur kempen pada jam 3 petang 11 September di Ibu Pejabat MIC;

- Mendakwa akhbar milik keluarga Presiden MIC, Tamil Nesan menyiarkan rencana dan iklan-iklan yang berunsur kempen, menyokong dan memihak calon Pasukan Presiden pada hari pemilihan 12 September;

- Akhbar itu didakwa diedarkan secara percuma kepada perwakilan di Dewan Merdeka, PWTC pada pagi hari pemilihan;

- Melarang calon daripada mencatatkan pengiraan undi sedangkan ia dibenarkan sehari sebelum itu; dan

- Kira-kira 90 peratus pekerja di dewan pengiraan undi merupakan kakitangan Ibu Pejabat MIC, Koperasi Pekerja Jaya dan Institut Pembangunan Pendidikan Maju, bukannya pekerja bebas kalangan pelajar universiti yang dijanjikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan.

Dalam satu sidang media, Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Pelanggaran Pemilihan MIC P. Balasubramaniam yang juga merupakan calon Naib Presiden berkata Jawatankuasa Pemilihan diminta membuat keputusan mengisytiharkan keputusan pemilihan lalu sebagai tidak sah.

Katanya kumpulan berkenaan juga mahu satu pemilihan baru diadakan. Sidang media berkenaan turut dihadiri oleh lima daripada tujuh calon yang mengemukakan aduan iaitu Subramaniam, Saaran Nadarajan, R. Anbalagan, Ananthan yang turut dikenali sebagai Kajang Ananthan dan R. Subramaniam.



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails