Wednesday, September 30, 2009

Kes Rasuah Isa Samad, pernahkah beliau didakwa dimahkamah?

Ramai sudah tahu bahawa Tan Sri Isa Samad pernah digantung keahlian Umnonya tidak lama dahulu setelah terlibat di dalam jenayah rasuah semasa perebutan jawatan Naib Presiden di dalam pemilihan pucuk pimpinan Umno pusat pada tahun 2004 dahulu.

Kesalahan rasuah adalah satu kesalahan serius dan perlu dibicarakan serta diadili oleh mahkamah dengan menggunakan perlembagaan negara yang telah lama termaktub itu.

Jadi, samada kita sedar atau tidak, Isa Samad ini tidak pernah dibawa kesnya ke mahkamah untuk diadili dan dihukum jika dia didapati bersalah di atas kesalahan jenayah itu.

Ini kerana, hukuman penggantungan keahlian itu cuma diputuskan oleh Lembaga Disiplin Umno dengan mengunakan peraturan-peraturan Umno sahaja.

Maka timbullah persoalan, adalah peraturan Umno itu lebih tinggi dari Perlembagaan Malaysia? Sedangkan di dalam perlembagaan negara secara jelas menyebut, mana-mana undang-undang yang bercanggah dengan perlembagaan dengan sendirinya dianggap terbatal.

Jikalau kesalahan ini diambil atas dasar soal dalaman Umno, maka jikalau ada satu kes pecah amanah di bank, maka si pesalah itu tidak perlu dibawa ke balai polis untuk di dakwa kerana itu adalah cuma soal dalaman bank tersebut. Adakah cukup si pesalah itu cuma dipecat dari pekerjaannya sahaja tanpa didakwa atas kesalahan pecah amanah tersebut?

Begitu juga jikalau sebuah sekolah membuang seorang muridnya kerana kesalahan mencuri, murid itu tidak perlu dibawa ke balai polis hanya kerana itu urusan dalaman dan lingkungan sekolah itu sahaja.

Saya juga merasa hairan, kenapa kes Isa Samad ini tidak dibawa ke mahkamah sedangkan kes jenayah rasuah di dalam perebutan jawatan lain di dalam Umno ada yang dibawa ke mahkamah seperti kes Dato’ Norza Zakaria?

Adakah di sini Umno melakukan pendakwaan terpilih dan melepas jerung-jerung kerana mempunyai pukat yang halus? Hanya bilis-bilis sahaja yang boleh tersangkut.

Atau hanya disebabkan perbezaan kem di dalam Umno, maka ada yang didakwa dan ada yang terlepas.

Jawatan terakhir Isa di dalam kerajaan ialah sebagai Menteri Wilayah Perseketuan. Akibat dari kesalahan jenayah rasuah itu, Isa Samad cuma meletak jawatan dari jawatan menteri tersebut dan dia bukannya dipecat.

Ini disebabkan kerana Lembaga Disiplin Umno tidak mempunyai kuasa atau hak untuk memecat mana-mana jawatan seorang anggota kerajaan. Oleh itu bagaimana dia harus dipecat sedangkan dia tidak didakwa oleh mana-mana mahkamah?

Saya tidak pasti samada Isa Samad ini pernah dipanggil atau tidak untuk diambil keterangannya oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) atau sekarang ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tuduhan jenayah rasuah itu.

Kini, Isa Samad dinamakan sebagai calon Umno untuk bertanding di dalam Pilihanraya Kecil Dun Bagan Pinang 11 Oktober nanti. Walaupun perkara ini mendapat bantahan dari ramai pemimpin veteran Umno, tetapi Najib terpaksa mengikut kehendak akar umbi Umno di Teluk Kemang.

Pemilihan Isa ini juga membuktikan bahawa transformasi yang mahu dilakukan oleh Najib itu adalah omongan kosong dan sekadar retorik serta hanya menyedapkan halwa telinga sahaja.

Ini bermakna, Umno masih lagi mahu membela dan memeliharan pemimpin-pemimpin yang korup dan mempunyai rekod jenayah serta tidak beramanah.

Ia juga menunjukkan bahawa Najib tidak mahu mengikut kehendak rakyat negara ini yang mahu mempunyai pemimpin-peminpin yang bersih tetapi sebaliknya dia mahu mengikut kehendak orang-orang Umno di Teluk Kemang sahaja.

Najib juga telah menolak tawaran bekas Presiden Umno, Mahathir untuk menjadi calon di Bagan Pinang. Bagi Mahathir, dia adalah pilihan yang lebih baik berbanding perasuah itu.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails