Saturday, September 19, 2009

Kalau Panglima Angkatan Tentera boleh dihina begini rupa..Bagaimana pula anggota lain-lain angkat?


Peralihan kuasa secara tiba-tiba kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia iaitu Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Jeneral Abd. Aziz Zainal pada 1 Sept. 2009 yang lalu adalah amat mengejutkan semua pihak kecuali pihak yang telah menjangkakannya. Juga benar-benar membangkitkan kemarahan kebanyakan anggota tentera dari pangkat bawahan hinggalah ke peringkat atasan, dari yang telah bersara hinggalah rakyat yang simpati dengan perjuangan perajurit kita.

Pengumuman tentang penggantian Panglima Angkatan Tentera Malaysia telah dibuat oleh Majlis Angkatan Tentera yang telah bersidang pada hari Khamis 27 Ogos 2009 dan telah membuat keputusan bahawa Tan Sri Jeneral Abd. Aziz Zainal akan digantikan oleh Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dari TUDM.

Pengumuman tentang penggantian itu juga telah dibuat oleh Menteri Pertahanan pada hari yang sama, ini adalah diluar kebiasaan kerana perkenan dari DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong adalah perlu sebelum pengumuman ini dibuat. Kebiasaannya mengambil sedikit masa dan bukanlah dalam masa yang sesingkat itu. Adakah perkenan dari DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong telah dinafikan disini?

3 hari iaitu 28 Ogos hari Jumaat, 29 dan 30 Ogos hari cuti dan 31 Ogos Hari Ulang Tahun Kemerdekaan telah diberikan kepada Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Jeneral Abd. Aziz Zainal untuk menyerahkan tugasnya kepada Panglima Angkatan Tentera yang baru Jeneral Tan Sri Azizan pada 1 September 2009.

Dan bertempat di Wisma Pertahanan pada 1 September 2009 (Selasa). Menteri Pertahanan Y.B Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Bin Hamidi telah menyaksikan serah menyerah tugas oleh Panglima Angkatan Tentera Jeneral (B) Tan Sri Abdul Aziz Zainal kepada Panglima Angkatan Tentera yang baru Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Panglima-Panglima Perkhidmatan, serta pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pertahanan.

Seorang Panglima Angkatan Tentera juga seorang Jeneral yang pernah memimpin pasukan Tentera Malaysia di Bosnia hanya diberi masa 3 hari untuk menyerah tugas. Dalam masa 3 hari sahaja seorang Panglima Angkatan Tentera telah ditamatkan perkhidmatan sedangkan rumah persaraan belum disiapkan lagi.

Seorang guru yang nak bersarapun tahu lebih awal bila masa dia akan bersara. Sekurang-kurangnya, kelasnya akan mengadakan sedikit majlis ringkas. Inikan pula seorang jeneral yang paling tinggi jawatannya. Saya tidak pasti kenapa dan mengapa? Kenapa terkena kepada jeneral ini yang sangat disegani dan baik hati. Adakah kerana menegur anggota-anggota tentera supaya jangan terlibat dalam urusan politik, menjadi satu kesalahan hingga dihukum sedemikian rupa.

Tan Sri Jeneral Abd. Aziz Zainal yang sepatutnya bersara pada Ogos 2007 pada umur 56 tahun, tetapi dengan perlantikannya sebagai Panglima Angkatan Tentera pada Februari 2007 beliau telah ditawarkan untuk menyambung tugasnya selama setahun bermula dari tarikh lantikannya sebagai Panglima Angkatan Tentera dan ini menjadikan tugasnya akan berakhir pada Februari 2008.

Beliau kemudiannya ditawarkan untuk menyambung perkhidmatannya selama satu tahun lagi iaitu sehingga Februari 2009 dan ketika itu umurnya telah menghampiri 58 tahun iaitu umur bagi wajib bersara buat semua pegawai Tentera yang senior.

Setelah menamatkan tempoh dua tahun sambungan perkhidmatannya itu, beliau sekali lagi ditawarkan untuk menyambung perkhidmatannya dalam Angkatan Tentera Malaysia sebagai Panglima Angkatan Tentera hinggalah beliau tiba-tiba diarahkan untuk menyerahkan tugasnya pada 1 September 2009 dan diarahkan bercuti hingga tamat tempoh sambungan tugasnya iaitu sehingga 31 Januari 2010.

Atas alasan apakah seorang Jeneral yang pernah memimpin pasukan di Bosnia hanya diberikan masa selama 3 hari untuk menyerahkan tugas?

Tan Sri Jeneral Abd. Aziz Zainal merupakan seorang Panglima Angkatan Tentera yang telah ditamatkan perkhidmatannya tanpa disertai dengan tradisi yang menjadi kemegahan dalam Angkatan Tentera Malaysia.

Sudah menjadi satu tradisi dalam Angkatan Tentera bagi menghargai para Jeneral yang akan bersara akan diadakan perbarisan perpisahan, jamuan makan malam, lawatan akhir, menghubungi seluruh rakan-rakan sejawatnya terutama sekali di Asean dan lain-lain lagi..

Walau apa jua sebab yang telah menyebabkan Tan Sri Jeneral Abd. Aziz Zainal digantikan, beliau berhak mendapat layanan sebagaimana yang sewajarnya diberikan keatas seorang Jeneral dalam Angkatan Tentera yang akan bersara.

Kalau seorang Panglima Angkatan Tentera jawatan yang tertinggi dalan Angkatan Tentera Malaysia boleh diperlakukan sedemikian rupa, tidak dihargai sama sekali… Bagaimana pula anggota lain-lain angkat?

Inikah balasan Kerajaan Malaysia terhadap Panglima Angkatan Tentera ? Seorang yang telah menerajui Angkatan Tentera Malaysia selama 2 Tahun dan berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia hampir 40 tahun??



Asal kisah dari : mindnoevil.blogspot.com

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails