Wednesday, September 30, 2009

Isa Samad pilihanku...

Dunia tidak akan melupakan Napoleon, Deng Xiaping, Habibie atau Danny de Vitto. Kesemua mereka adalah orang katek yang telah berjaya meninggalkan zuriat.

Saya berani berkata bahawa Tan Sri Isa Samad adalah Napoleon kita yang datang dari Linggi, bukan Napoleon dari watak buku
Animal Farm itu.

Tanyalah sesiapa sahaja yang berasal dari Negeri Sembilan, pasti mereka akan terkenang-kenangan akan sumbangan Tan Sri Isa Samad.


Semasa Tan Sri Isa berpindah ke Kuala Lumpur, orang-orang Negeri Sembilan telah menangis kerana memikirkan projek pembanguan di Lake Garden Seremban terbengkalai gagal tanpa kehadiran Tan Sri Isa.

Tan Sri Isa akan membawa idea Konsep meneroka kawasan-kawasan hijau dalam kota Seremban untuk membangunkan kawasan simpan Bukit Nenas, Bukit Persekutuan dan Bukit Ceylon. Beruntunglah sesiapa yang menjadi warga Ibukota.

Malah, sebulan setelah menjadi Menteri Wilayah, Tan Sri Isa telah mencadangkan agar semua bulatan - roundabout - yang dianggap besar di sekitar Kuala Lumpur; seperti di hadapan Dewan Perhimpunan Cina, boleh diswastakan. Bulatan yang luas boleh dijadikan pasarana pemangkin ekonomi. Untuk saya, idea seperti inilah yang amat-amat diperlukan untuk mengembangkan ekonomi kita dalam era global.

Doktor senapang

Pengalaman Tan Sri Isa Samad dalam pentadbiran Negara dan Negeri Sembilan Incorporated cukup positif dan amat-amat diperlukan oleh rakyat, terutama di Bagan Pinang.

Mungkin ada rakyat di luar Negeri Sembilan tidak pernah mendengar nama Doktor Senapang (nama terjemahan dari Bahasa Inggeris oleh DBP) - nama yang sinonim dengan Tan Sri Isa Samad. Doktor Senapang adalah rakan, kawan dan penasihat Tan Sri Isa Samad suatu masa dulu.

Tanpa Doktor Senapang, pastilah banyak kawasan balak di Negeri Sembilan yang terus terbiar menjadi hutan rimba. Tanpa idea Tan Sri Isa Samad dan Doktor Senapang, rakyat Malaysia hanya akan melihat pasir memutih dan pantai melandai di Port Dickson.

Tan Sri Isa Samad dan Doktor Senapang adalah dua badan satu kepala. Doktor Senapang akan mencari tanah dan kawasan baru, terutama kawasan tanah rizab Melayu. Kawasan-kawasan ini akan ditunjukkan kepada Tan Sri Isa dan di sini, mereka berdua akan turun menembak. Inilah hubungan intim antara politikus Melayu dengan cukong Cina yang wajib dijadikan asas untuk memangkin Agenda Melayu dan 1Malaysia.

Kerana semua ini, saya dengan jujur meminta agar media-media dan laman-laman web untuk tidak lagi memperlekehkan kewibawaan Tan Sri Isa Samad. Saya meminta semua pihak memberhentikan polemik politik wang ini. Jika agenda politik wang a.k.a rasuah ini diteruskan, pasti musuh-musuh Umno yang sakit-sakit tulang belakang pun, akan berani menyerang.

Sesiapa sahaja yang terus mempertikaikan kewibawaan Tan Sri Isa Samad ini saya anggap mereka cemburu, dengki dan iri hati. Telah sampailah masa dan ketikanya bagi anak jati Adat Pepateh menyandang jawatan ADUN pula. Seperti Napoleon yang datang dari pulau Corsica yang kecil, Tan Sri Isa Samad juga datang dari mukim Linggi yang kecil.


Kalau Napoleon akan menawan seluruh Eropah, Tan Sri Isa Samad akan menawan semua tanah kosong dan kawasan setinggan di Bagan Pinang. Justeru, tanpa segan dan silu saya mencadangkan diri saya untuk menjadi Orang Isa.


Ditulis oleh Hishamuddin Rais pada suatu masa yang lampau.. err.. aku dah edit sikit..

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails