Wednesday, September 16, 2009

DSAI : Kutuklah saya 4 hari 4 malam... tapi...

KLANG – Pakatan Rakyat (PR) menganggap kemasukan semakin ramai orang Melayu ke dalam parti DAP tidak menjadi masalah kerana ia membuktikan parti-parti dalam PR diterima sepenuhnya oleh rakyat, tidak seperti parti-parti dalam Barisan Nasional (BN).

Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, tiada masalah sekiranya orang Melayu menyertai DAP kerana parti tersebut memang sebuah parti berbilang kaum sepertimana Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Ini menunjukkan DAP sudah mula diterima oleh orang Melayu, seperti orang-orang Cina dan India menerima Pas dan PKR, jadi tiada masalah kepada kita.

“Orang Cina boleh masuk PKR, boleh masuk Pas, sudah semestinya juga orang Melayu boleh masuk DAP,” katanya kepada media selepas menyampaikan ceramah di Dewan Serba Guna Pandamaran Jaya malam kelmarin.

Ketika menyampaikan ceramah sebelum itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut memberi amaran kepada BN Selangor agar tidak sesekali merampas negeri tersebut seperti mana mereka merampas Negeri Perak dari tangan PR awal tahun ini.

“Saya ingin beritahu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ya ataupun tidak, boleh ataupun tidak boleh, bukannya kamu yang tentukan kerajaan negeri Selangor tetapi adalah rakyat.

“Mereka boleh gunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hakim, polis dan media untuk membodohkan semua orang dalam satu-satu masa, tetapi mereka tidak boleh membodohkan seluruh rakyat Selangor sepanjang masa,” katanya.

Selain itu, Anwar turut membuat tawaran kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk membenarkan beliau menjelaskan selama lima minit kepada rakyat mengenai situasi semasa dalam PR.

“Mereka boleh kutuk saya, maki saya empat hari empat malam, tetapi saya mahu hanya 5 minit untuk jelaskan kepada rakyat dasar perjuangan PR,” katanya.

Kelmarin, Anwar membuat lawatan khas ke tiga lokasi sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Kelang dimana kawasan itu diwakili oleh calon PKR, Badrul Hisham Abdullah yang dikatakan hilang dan berkemungkinan menyertai UMNO.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails