Wednesday, September 2, 2009

Bila Harga Minyak Naik, Maka Ketahuilah Anda Tentang Perkara Ini..

Harga minyak mentah hari ini.

1. Berapa harga minyak dunia pada masa ini?
"Penetapan RON95 pada RM1.80 dan RON97 pada RM2.05 adalah berikutan purata kos produk bagi petrol telah meningkat daripada US$40.75 (RM142.63) pada Disember 2008 kepada US$82.30 (RM288.05) pada Ogos 2009."

(Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna. Petrol RON95 kini RM1.80 seliter, Utusan Malaysia).
Fakta paling penting: Semenjak awal tahun 2009 ini, iaitu apabila ekonomi dunia semakin merudum, harga minyak dunia TIDAK PERNAH pun melepasi paras USD80 setong. Tertinggi yang pernah dicatatkan adalah pada 21 Ogos yang lalu, iaitu di paras USD75 setong.

Jadi dari mana datang nilai USD82.30 ini? Seseorang sila jelaskan kalau saya ada terlepas pandang apa-apa fakta.

2. Benarkah dakwaan kerajaan bahawa tiada perubahan harga petrol utama negara?
Benar. Harga memang tidak berubah, tetapi kualiti sudah tidak sama. Dahulu, petrol jenis RON97 yang selalu kita gunakan sebelum ini berharga RM 1.80 seliter. Kini, ia menjadi RM 2.05 seliter.
RON95 yang baru dilancarkan memang berharga RM1.80. Namun RON95 kurang bagus pada enjin. RON97 bagus pada enjin.

Contoh lain bagi mudah faham: Dulu kita beli filem DVD (RON97) pada harga RM 20. Kini harga DVD itu dah jadi RM 30. Kalau nak tonton juga filem tu pada harga RM 20, boleh dapatkan salinannya dalam bentuk VCD (RON 95) yang lebih rendah kualiti audio dan videonya.

Undian di The Star Online (tepat pada 1 September 2009) menunjukkan bahawa 52% responden berasa tidak selesa apabila beralih kepada RON95.

3. Maka, apa implikasi kenaikan harga minyak ini kali ini?
Kenaikan ini dilakukan pada waktu yang sangat tidak bijak. Ramadhan adalah bulan yang terkenal dengan "barang tak ada" dan "harga barang naik". Bila minyak naik masa bulan Ramadhan, makin lagi banyaklah barang yang akan naik harga.

Kenaikan harga minyak sehingga ke paras USD 75 setong baru-baru ini adalah dek kerana keyakinan bahawa ekonomi dunia semakin nampak macam mahu pulih, seperti di Jerman dan Perancis. Namun beberapa pakar ekonomi juga berpendapat bahawa trend tersebut mungkin bersifat fatamorgana:
We have seen this strength (in the oil price) which reflected renewed confidence in the economy. But in the last week or so people are starting to say that the stock market is overbought and the data is not that good.

(John Vautrain, penganalisis tenaga di Konsultan Purvin & Gertz, Singapura)


Jangkaan mereka lagi, harga minyak mungkin akan turun lagi (dan bukannya naik) dalam beberapa minggu yang mendatang.

Jika tekaan mereka benar, maka Malaysia akan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih daripada kesemputan ekonomi. Ini kerana, apabila harga barang semakin mencanak, orang ramai akan lebih suka menyimpan berbanding berbelanja.

Sama ada dunia mengamalkan sistem ekonomi kapitalis, sosialis atau pun Islamis, apabila majoriti orang jadi takut hendak membeli dan lebih banyak menyimpan di dalam bank dan di bawah bantal, maka ekonomi akan mandul.

Ekonomi hanya akan jadi subur apabila orang yakin untuk berbelanja sakan, di samping mereka masih ada duit untuk disimpan, diderma dan dizakatkan. Justeru, kita fikirkan sama ada kenaikan harga minyak pada kali ini boleh memandulkan atau menyuburkan ekonomi Malaysia yang baru sahaja menyambut hari jadinya yang ke-52 ini.

http://hembusan.blogspot.com/

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails