Wednesday, September 2, 2009

Beranikah Pakatan Rakyat Bakar Mahkamah?


HARI ini negeri Perak kecoh lagi. Wakil rakyat Pakatan Rakyat yang kehilangan negeri kerana dirampas oleh UBN telah cuba memasuki Dewan Undangan Negeri untuk mengadakan persidangan. Bagaimana pun mereka dihalang oleh polis dan FRU yang sudah bersiap sedia sejak dari pagi. Ada beberapa orang wakil rakyat Pakatan sudah ditahan polis.

Rupa-rupanya bukan mudah untuk menenangkan politik di Perak yang sudah berlarutan lapan bulan. Pihak yang tidak berpuas hati terus melakukan aksi asakan dengan berbagai cara. Kuat sungguh Pakatan Rakyat! Mereka juga tidak kering idea bagaimana hendak mengasak kerajaan yang ada kini yang disifatkan sebagai haram.

Kenapa mereka menjadi kuat, kerana mendapat sokongan rakyat! Kalau rakyat tidak bersama mereka, tidak mungkin wakil rakyat dapat melakukan asakan dan protes berpanjangan. Hanya dengan mempunyai ahli seramai 21 orang tidak mungkin mereka dapat mengugat kerajaan Perak dan menimbulkan ketegangan demi ketegangan. Begitukah?

Benarkah rakyat mendokong mereka?Niat mereka hendak bersidang bagaimana pun tidak pernah terhalang. Speaker S Sivakumar telah mengadakan persidangan di sebuah hotel. Kali ini mereka tidak bersidang di bawah pokok lagi (mungkin kerana panas dan bimbang hujan) maka dibuat di hotel. Bagaimanapun persidangan itu sekejap saja kemudian ditangguhkan atas permintaan bekas MB Perak, Mohamad Nizar Jamaluudin.

Bila mengenangkan politik Perak timbul pertanyaan bilakah ianya akan berakhir. Ataupun ia tidak akan berakhir dan menjadi pesta politik sepanjang tahun selagi Dewan Undangan Negeri tidak dibubarkan. Kita percaya selepas ini akan ada aksi potes lain pula. Molek juga kalau kementerian pelancongan memasukkan politik Perak sebagai pesta untuk tarik pelancong.

Polis juga tidak larat untuk menangkap dan menahan mereka lagi. Kalau semua mereka ditahan dan dikurung mungkin wakil rakyat itu akan bersidang dalam tahanan polis. Bagi mereka yang tetap meyakini masih memimpin kerajaan boleh bersidang di mana-mana saja tempat yang mereka suka.Kalau bersidang dalam penjara mereka lagi hebat.

Tindakan wakil rakyat itu tidak boleh dikatakan tidak siuman, sebab mereka ramai. Kalau setakat Sivakumar atau Nizar Jamaluddin saja mungkin boleh dikatakan gila. Tetapi kalau 21 tidak mungkin mereka gila. Yang pentingnya tindakan mereka itu ada yang sokong.

Anwar Ibrahim dalam kenyataan akhbarnya hari ini mengatakan tindakan Sivakumar memanggil sidang dewan itu sah! Alasannya kerana Sivakumar dilantik oleh Dewan dan bukan dari lantai Dewan seperti Ganesan, speaker DUN sekarang.Saya tidak mahu persoal apa-apa di sini. Cuma nak tanya dan nak soal wakil rakyat Pakatan Rakyat berkenaan.

Kalau tindakan mereka sah, buatlah apa yang mereka suka. Kalau panggil sidang pun sah, mesyuarat bawah pokok, dalam hotel atau dalam jamban pun sah, apa susah-susah nak cari Dewan lagi. Bersidang sahaja. Tak payah rempuh nak masuk ke DUN.Buatlah keputusan dalam persidangan itu. Tetapi apakah ada makna segala keputusan itu kalau ianya tidak dapat dilaksanakan? Tidak ada guna juga. Jadi persidangan itu tidak membawa apa-apa pengertian selain daripada kerja orang yang tidak ada kerja saja.

Dan sekiranya sidang DUN yang ada sekarang ini tidak sah dan tidak diikhtiraf kenapa mereka hadir? Saya harap selepas ini kesemua wakil rakyat tidak hadir bila sidang DUN diadakan. Kita mahu tengok apakah selepas mereka tidak hadir dua kali berturut-turut kedudukan mereka sebagai Adun terlucut ataupun tidak.

Di sini pada saya jalan sebaiknya ialah tunggulah dewan dibubarkan dan bertandinglah dalam pilihan raya nanti. Tidak payahlah membuat berbagai asakan yang semuanya itu menyusah dan menyerabutkan rakyat saja. Jadilah wakil rakyat yang gentlemen.Bukankah kerajaan yang ada kini adalah sah mengikut keputusan mahkamah? Zambry Kadir duduk disitu atas kehendak mahkamah dan perkenan sultan.

Sekiranya Pakatan merasakan mahkamah tidak adil dan sudah mengkhianati mereka, bakar sahajalah mahkamah, apa tunggu lagi.Beranikah Pakatan Rakyat hendak bakar mahkamah?

Dalam memerhati telatah tindak tanduk Pakatan di Perak ini saya bimbang takut rakyat jadi muak. Bila rakyat sudah muak menyebabkan rakyat akan hilang sokongan. Makanya kalau nak buat tindakan politik, gimik politik pun berpadan patutlah. Tegasnya kalau rakyat benar-benar menyokong kita sudah tentu rakyat ikut sama menumbangkan kerajaan Zambry kini? Soalnya kenapa rakyat Perak diam dan hanya sebahagian saja yang menyokong!

http://msomelayu.blogspot.com


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails