Friday, September 25, 2009

Bagan Pinang : PAS N9 cadangkan 3 nama..

PAS Negeri Sembilan telah mencadangkan tiga nama kepada jawatankuasa pusat pengerusi negeri Zulkefli Omar, ketua PAS Teluk Kemang Ramli Ismail dan bekas ketua Dewan Ulama PAS negeri Kassim Tahir.

Ramli Ismail adalah seorang pesara tentera yang pernah berkhidmat di Port Dickson sehingga tahun 1990 dan pengaruhnya diharap dapat membantu kempen PAS di Bagan Pinang yang mengandungi hampir 5,000 pengundi pos yang kebanyakannya anggota tentera.

Kassim Tahir pula adalah penduduk asal Kampung Si Rusa di pesisir pantai Port Dickson dan berpengaruh di kampung sekitarnya kerana latar belakangnya sebagai guru agama dan pada usia 69 tahun, masih lagi aktif memberikan kuliah agama di kawasannya.

“Jika bercakap soal calon menteri besar, maka Zulkefli Omar adalah orang yang boleh dipersiapkan, dia juga adalah ahli politik sepenuh masa,” kata ahli strategi PAS Dr Zulkefly Ahmad kepada The Malaysian Insider tetapi menambah soal calon menteri besar belum difikirkan oleh parti itu lagi.

Zulkefli Omar, 45, adalah seorang pemegang ijazah sarjana dan telah tewas tiga kali dalam pilihan raya sebelum ini beliau dikatakan mempunyai peluang paling cerah menjadi calon di Bagan Pinang.

Pada pilihan raya umum lalu, beliau tewas di kerusi Lenggeng dengan majoriti 1,285.

Bagaimanapun di kalangan pemimpin PAS ada juga yang bimbang pencalonan Zulkefli akan membawa kesan buruk kepada parti itu.

“Tidak baik untuk parti sekiranya seorang pesuruhjaya negeri tewas dengan teruk dalam pilihan raya kecil,” kata seorang lagi pemimpin PAS yang bimbang dengan kewujudan pengundi pos yang tinggi iaitu kira-kira 30% daripada jumlah pemilih.

Jawatankuasa PAS pusat akan bermesyuarat pada 29 September ini di Port Dickson untuk menetapkan nama calonnya dan pengumuman akan dibuat dalam satu ceramah pada malam itu juga.

Jika Zulkefli dicalonkan, ia menjadi isyarat paling jelas bahawa parti itu sedang mempersiapkan diri untuk mentadbir Negeri Sembilan.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails