Thursday, September 17, 2009

Bagan Pinang : BN 55%, PR 45% ?



Majoriti 2,333 undi yang diperolehi UMNO-BN dalam PRU ke-12 di Bagan Pinang, Negeri Sembilan sedikit sebanyak memalapkan harapan PAS-PR untuk menembusi kubu ini. Namun, seandainya PR menang dalam pertempuran ini, maka UMNO akan berdepan dengan "Waterloo" mereka.

Demikianlah pandangan daripada Pengarah Pilihan raya kecil Bagan Pinang, merangkap Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ketika ditemuramah MerdekaReview. Beliau mengakui bahawa PR menghadapi kesukaran untuk menang dalam PRK Bagan Pinang.

"...Seandainya kami dapat merapatkan jurang majoriti, ini mesej yang sangat buruk untuk UMNO," katanya.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa PAS bertanding untuk menang, agar reformasi yang dibawa PR bersinambung. Bekas Ketua Pemuda PAS ini juga percaya, pertarungan ini bertambah sengit apabila UMNO dilihat bersungguh-sungguh mempertahankan kubu mereka, malah terdapat 4,604 undi pos di kawasan tersebut.


BN 55% vs PR 45%
Menurut Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifli Omar, PAS memperolehi 4,097 undi dalam PRU ke-12. PAS mendapat sokongan 43% Melayu, 56% Cina dan 54% India.

Malah, Naib Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya PKR Negeri Sembilan, Chai Tong Chai berkongsi pendapat yang sama dengan Zuklifli Omar, bahawa PR perlu memandang berat dan menarik undi pos. Oleh itu, PR akan cuba sedaya-upaya agar dibenarkan untuk memantau proses pengundian dalam kem tentera.

Dalam PRK kawasan parlimen Teluk Kemang pada tahun 2000, pembangkang dibenarkan untuk berkempen di kem tentera. Apabila peti undi dibuka, undi pos yang diperolehi PAS dan UMNO tidak jauh berbeza. Sejak insiden itu berlaku, pembangkang tidak lagi dibenarkan untuk berkempen di kem tentera.

Chai Tong Chai meramalkan senario kini memperlihatkan BN mendahului PR dengan 55:45. Namun, ADUN Chuah ini berkata, apabila tokoh seperti Anwar Ibrahim, Hadi Awang dan Lim Kit Siang turun ke gelanggang untuk berkempen, maka undi yang bakal diperolehi PR mungkin melonjak.


PR mesti pantau undi Pos
Malah, pada PRU ke-12, BN memperolehi 3,080 undi daripada 4,800 undi pos, sementara PAS hanya mendapat 1,189 undi. Tetapi kira-kira 500 undi pos tidak dikirim balik. Chai Tong Chai menjangka bahawa undi yang tidak dikirim balik itu mungkin disebabkan ketidakpuasan pengundi. Seandainya PR mengekalkan 1200 undi yang diperolehi sebelum ini, dan cuba mendapatkan 500 undi yang tidak dikirim balik sebelum ini, maka PR berpeluang untuk merapatkan jurang bilangan undi.

Chai Tong Chai berkata, statistik SPR menunjukkan lebih setengah pengundi kawasan Bagan Pinang adalah daripada golongan muda, dan ini merupakan faktor yang memihak PR.

Bagan Pinang adalah kawasan desa-bandar. Pelancongan menjadi tunjang aktiviti ekonominya. Pengundi di situ dapat akses kepada internet dan infomasi yang lain dengan mudah. Oleh itu, PR menjangkakan bahawa pengundi akan berprihatin terhadap isu-isu seperti ketelusan, penyalahgunaan kuasa, rasuah dan sebagainya.

MerdekaReview

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails