Tuesday, August 11, 2009

UMNO takutkan Anwar: Dr Jeffrey

SHAH ALAM – Tindakan UMNO Johor untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran bagi melaungkan perkataan ‘pengkhianat’ terhadap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan betapa takutnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) terhadap pemimpin tertinggi parti itu.

Naib Presiden PKR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, kedudukan UMNO dilihat semakin tergugat dengan reputasi Anwar yang berjaya mendapat sokongan daripada rakyat.

"Kita dapat lihat semakin lama Anwar semakin mendapat peluang daripada rakyat untuk menyokongnya dan situasi ini menimbulkan ketidakselesaan UMNO-BN.

“Kebanyakan penyokong UMNO sudah hilang keyakinan terhadap kerajaan. Oleh sebab itu mereka menggunakan perhimpunan untuk mengutuk beliau (Anwar) sebagai satu cara menyatakan bahayanya pemimpin tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang akan mengadakan perhimpunan besar-besaran di Padang Merdeka, Batu Pahat dalam waktu terdekat bagi melaungkan perkataan ‘pengkhianat’ terhadap Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Dr Jeffrey berkata, UMNO kemungkinan mula menyedari bahawa kehadiran Anwar dalam politik akan menjejaskan kedudukan mereka dalam pembentukan kerajaan yang sedia ada kini.

“Jadi ini cara mereka (UMNO-BN) untuk menutup suara beliau dengan memberi tanggapan negatif terhadapnya.

“Anwar bukan pengkhianat tetapi beliau sebenarnya penyelamat negara,” katanya.

Menyentuh kenyataan Zahid, perhimpunan yang bakal diadakan itu akan mengingatkan kembali Anwar mengenai prinsip yang diperjuangkannya dahulu, menurutnya, dahulu dan sekarang banyak perbezaannya.

Bagaimanapun, katanya, apa yang relevan suatu ketika dahulu mungkin sudah tidak bersesuaian dalam situasi negara kini.

“Cara mengingatkan itu hanya ingatkan beliau pada waktu itu sahaja kerana mereka bersama dalam kumpulan sama yang banyak memiskinkan Malaysia, menurunkan daya saing dan memperkaya hanya sebilangan orang berkuasa.

“Saya percaya Anwar lebih sedar terhadap dasar perjuangan dahulu. Saya yakin beliau lebih memperjuangkan untuk mencari keadilan,” katanya.

Di samping itu, Dr Jeffrey menyifatkan Anwar mampu menubuhkan satu sistem kerajaan lebih baik daripada dulu.

Sumber : Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails