Sunday, August 2, 2009

BERJAYA!!! kata Cif Komander..


(Hrkh) - Walaupun gagal menyerahkan memorandum menggesa ISA dimansuhkan ke Istana Negara ekoran sekatan pihak polis, Cif Komander Himpunan Mansuhkan ISA, Salahuddin Ayub tetap menganggapnya sebagai berjaya.

Salahudin berkata walaupun banyak rintangan dan halangan yang dihadapi para peserta perhimpunan, mereka telah menunjukkan semangat yang tinggi untuk terus berhimpun secara aman.

Menurutnya, walaupun kerajaan BN menggunakan media massa dan pasukan polis untuk menggagalkan perhimpunan itu, kehadiran puluhan ribu rakyat daripada segenap lapisan masyarakat membuktikan sokongan padu mereka agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan.

"Walaupun memorandum tidak dapat diserahkan kepada Istana Negara, kita amat terharu dengan semangat yang ditunjukkan rakyat yang berkumpul secara aman bagi menggesa ISA dimansuhkan," katanya.




Menurutnya, disiplin dan kesabaran tinggi ditunjukkan para peserta perhimpunan dalam menghadapi provokasi dan tindakan ganas pihak polis membuktikan bahawa rakyat negara ini sudah matang dalam melaksanakan hak-hak mereka yang digariskan Perlembagaan termasuk hak berhimpun secara aman.

Ini katanya terbukti apabila tiada harta benda awam yang musnah dalam perhimpunan membabitkan puluhan ribu orang itu.






Siasah - Perhimpunan Mansuhkan ISA juga dianggap berjaya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila lebih 100 ribu berhimpun di ibu negara hari ini walaupun mereka tidak berjaya berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum akibat sekatan tegar polis.

Dalam sidang media bersama pemimpin Pakatan Rakyat dan GMI di pejabat agung PAS, Anwar berkata, tindakan tegar polis menghalang perarakan ke Istana Negara menyebabkan peserta perhimpunan berselerakan di seluruh ibu negara.

Turut serta berada di ibu negara adalah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Sebahagian besar peserta perhimpunan pula berhimpun di tiga tempat iaitu Sogo, Masjid Jamek dan Pasar Seni. Namun mereka tidak berjaya berkumpul sekali untuk berarak ke istana kerana sekatan tegar polis.

Mereka hanya berjaya berkumpul sekejap di depan Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut untuk mendengar sedikit ucapan pimpinan Pakatan sebelum disembur air dan gas oleh polis.







(Hrkh) - "Kami akan berdemonstrasi lagi hingga ISA dimansuhkan" demikian kata Pengarah Strategik KeADILan, Tian Chua yang berucap di belakang Kompleks Pertama dihadapan kira-kira 10,000 peserta himpunan Mansuh ISA.

Tepat jam 3.45, setelah beberapa kali polis menghalang peserta himpunan yang berarak menuju ke Dataran Merdeka, himpunan dihentikan sebentar di belakang Kompleks Pertama.


Gambar : Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails