Thursday, July 2, 2009

Media BN Putarbelitkan Isu DAP Kedah


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan DAP Kedah telah keluar daripada pakatan pembangkang semalam kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran pimpinan Pas Kedah.

Sebaliknya, beliau menyalahkan media yang didakwanya sengaja menggembar- gemburkan dan memperbesarkan isu itu.

"Ini media, surat khabar saudara yang bangkitkan. Kalau dalam Barisan Nasional, banyak perbezaan dalam banyak perkara tetapi tak pula diperbesarkan. Pakatan Rakyat ini pakatan miskin (yang) tak ada media yang besar. Itu bezanya," kata kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.

Anwar berkata beliau yakin isu itu dapat diselesaikan dalam suasana yang baik antara anggota pakatan pembangkang.

Ketika ditanya sama ada beliau mengetahui keputusan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak untuk merobohkan pusat penyembelihan babi haram di Kampung Berjaya di itu, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat itu berkata beliau telah dimaklumkan dan tahu bahawa pusat penyembelihan berkenaan akan dipindahkan ke kawasan lain.

Semalam, DAP Kedah mengumumkan ia tidak berpuas hati dengan pentadbiran Pas di Kedah ekoran tindakan meroboh satu pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya di Alor Setar.

Pengerusi DAP Kedah/Perlis Thomas Su berkata beliau menyerahkan keputusan sama ada DAP Kedah kekal dalam pakatan pembangkang kepada pemimpin pusat parti itu.

Pengarah pilihan raya PKR, Saifuddin Nasution Ismail, pula berkata isu DAP Kedah itu bukanlah sesuatu yang besar.

"Kita pernah berdepan dengan kenyataan Karpal Singh (Pengerusi DAP) yang meminta Anwar meletak jawatan, itu jauh lebih besar. Jadi itu semua proses yang akan mematangkan diri kita," katanya.

Penasihat DAP Lim Kit Siang pula berkata beliau menunggu laporan penuh daripada DAP Kedah tetapi menyifatkan perkara itu sebagai tidak serius.

Karpal Singh ketika ditemui pula berkata isu berkenaan boleh diselesaikan."Saya tidak fikir masalah itu serius sehingga mampu memecahbelahkan pakatan pembangkang," katanya.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayob, yang mempengerusikan satu mesyuarat sekretariat pakatan pembangkang hari ini, berkata isu itu akan dibincangkan oleh Majlis Presiden pakatan pembangkang Sabtu ini.


Sumber : TVAntara


Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails